Anak Kelate ‘ttemu mato’ dengan MB di Temerloh

- Advertisement -

TEMERLOH: Kerajaan Negeri Kelantan menjadikan kesempatan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 menyantuni anak-anak Kelantan yang berada di perantauan dengan mengadakan pertemuan sempena acara tahunan ini Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, program sedemikian sering kali diadakan kerana ia menjadi wadah penyatuan dan perkongsian aspirasi antara pimpinan negeri dan perantau.

“Marilah kita sama-sama membina masa depan Kelantan yang lebih cemerlang dan sejahtera,” katanya ketika berucap pada majlis Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan Di Perantauan yang diadakan di Dewan Taman Tinah Futsal, di sini petang semalam.

ADUN Meranti itu juga melahirkan rasa gembira melihat suasana sepanjang majlis berlangsung dengan kehadiran yang memberangsangkan.

Katanya, ditambah pula dengan kemeriahan gelagat kanak-kanak, telah menerbitkan suasana cukup ceria di mana sempena majlis berkenaan diadakan persembahan dikir barat.

Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan dalam pada itu turut mengambil bahagian dalam pameran di tapak Muktamar dengan menyertai Karnival SG4 yang berlangsung selama lima hari.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, pameran tersebut bermula 11 hingga 15 September ini.

Menurutnya, dengan adanya pameran berkenaan, memberi peluang kepada U-BeS untuk memperkenalkan pelbagai program pembangunan belia dan sukan yang diadakan di Kelantan.

“Antaranya program Liga Elit DUN yang disertai hampir 700 pasukan di seluruh Kelantan.

“Selain itu kita turut sertakan pameran berkenaan  program GENTERA yang memfokuskan kepimpinan belia dan pembinaan jati diri,” katanya di sini.

Tambahnya, selain itu program perpaduan masyarakat juga diketengahkan bagi mengukuhkan hubungan antara komuniti melalui aktiviti sukan dan sosial.

Jelasnya, inisiatif-inisiatif ini bertujuan memperkasakan belia serta menggalakkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyertaan dalam aktiviti sukan untuk kesejahteraan bersama.

Beliau turut melahirkan rasa syukur, pameran berkenaan mendapat sambutan pengunjung. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -