
TEMERLOH: Anggota masyarakat disaran memperbanyakkan kandungan (content) ilmiah serta berunsur agama di media sosial khususnya di TikTok bagi menarik golongan muda.
TikToker, Aiman Nasir berkata, ia penting bagi mengimbangi maklumat yang boleh melalaikan anak muda dengan kandungan menarik golongan berkenaan pada jalan kebaikan.
Katanya, perkara paling penting seseorang itu perlu mengisi diri dengan pelbagai ilmu bagi mengindahkan kandungan yang diciptakan untuk masyarakat.
Menurutnya, sukar untuk menghalang video yang pelbagai kandungan di media sosial masa kini, kerana ia mempunyai peminat tersendiri.
“Jika salah pertimbangan, kita pula yang dimarah dan dikutuk oleh pengikut TikToker berkenaan kerana pandai-pandai mengkritik mereka di ruangan komen.
“Jadi kena pandai, kita kena perbanyakkan ‘content’ yang bermaklumat, keagamaan contohnya rukun iman, walaupun ianya asas agama yang dianggap semua orang tahu, tetapi masih ramai yang tidak mengetahuinya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjayakan program Sembang Santai @ Muktamar PAS Pusat Ke-70, bersama TikToker, Suffi Kamari di Kompleks Al-Makmur, di sini petang semalam.
Sehingga kini Aiman Nasir mempunyai 447,200 pengikut dengan 8.9 juta tanda suka terhadap kandungan-kandungan dimuat naik beliau di TikTok.
Beliau mengakui, bukan mudah untuk menarik orang ramai untuk mengikuti video yang dimuat naik di TikTok, apa lagi menarik ramai pengikut.
Bagaimanapun, menurutnya apabila seseorang itu rajin serta banyak idea, dengan sendiri masyarakat akan mengenali dan menilai dirinya.
“Apa yang penting kita perlu mencari ilmu untuk membuat video yang mesti ‘related’ (kaitkan) dengan semua orang, sesuai dengan perkembangan semasa dan cukup relevan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











