
TEMERLOH: Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke-70 bertemakan ‘Islam Jalan Penyelesaian’ di Kompleks Al-Makmur, Kerdau membuka tirainya, di sini, hari ini.
Seawal jam 6.30 pagi, pekarangan kompleks telah dipenuhi para perwakilan, unit amal dan orang ramai bagi menjayakan muktamar penuh pada kali ini.
Jabatan Amal Malaysia (JAM) meriah dengan uniformnya dan kelihatan segak bergaya mula berkawad menunjukkan tanda sedia bertugas sepanjang muktamar berlangsung.
Muktamar pada tahun ini diserikan dengan kehadiran para pemerhati daripada rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Sambutan orang ramai dan ditambah pula para perwakilan menjangkau kehadiran lebih 5,000 orang yang sudah bermula dengan muktamar dewan-dewan sejak 8 September yang lalu.
Kehadiran sekali ganda perwakilan pada muktamar kali ini membuktikan parti PAS semakin diterima pelbagai lapisan masyarakat termasuk membabitkan penyokong bukan Islam.

Selain itu, suasana sekitar gerai pula mula dipenuhi orang ramai untuk memeriahkan lagi ruang kompleks bagi bersama-sama menjayakan Muktamar PAS tahun ini.
Sementara itu, pemilihan Pahang sebagai tuan rumah muktamar kali ini sebagai isyarat keyakinan PAS dalam menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











