
TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memulakan ucapan dasar hari ini dengan pantun yang menyebut Gunung Tahan dan Sungai Pahang susulan Muktamar Tahunan PAS ke-70 kali ini dilangsungkan di Pahang iaitu di Kompleks Al Makmur, Kerdau.
Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Bila semua bersatu hati,
Kerja susah menjadi senang.
Beliau berkata, PAS dilahirkan daripada gerakan islah dan tajdid yang ditubuhkan sejak umat Islam mengalami kelemahan, sehingga hilangnya kuasa politik yang menyebabkan negara-negara umat Islam dijajah dan mengalami masalah selepas keluarnya penjajah dari tanah air mereka.
Tegasnya, segala halangan itu gagal menyekat kemaraan PAS melalui pendekatan demokrasi serta politik matang dan sejahtera, kerana kegagalan ideologi dan kelemahan undang-undang ciptaan manusia gagal menutup kepalsuan dan penipuan mereka.
“Sehingga kini, kita menjadi parti terbanyak kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), menguasai empat kerajaan negeri dan hampir menawan dua negeri, di samping adanya wakil rakyat di hampir semua negeri,” ujarnya.
Kini, kata beliau umat Islam semakin mara ke hadapan dan berjaya meletakkan Islam menjadi agama negara, serta menjadikan kebangsaan Melayu yang tidak berpisah daripada Islam.
Menurutnya, akibat kelemahan semua ideologi warisan penjajah itu, maka dunia kini dilanda krisis kemanusiaan, bermula dari krisis peribadi, keluarga dan masyarakat, sehingga krisis negara dan antarabangsa dalam segala aspek, termasuk alam sekitar.
Beliau berkata, krisis itu dicetuskan oleh manusia sendiri yang lupa akan kelemahannya sebagai makhluk, sedangkan manusia sangat berhajat kepada petunjuk Allah yang bernama Islam.
“Maka, muktamar kali ini menegaskan tema: ‘Islam Adalah Penyelesaian’,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Menurutnya lagi, Allah SWT mengemukakan soalan supaya manusia berfikir melalui firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 83 yang bermaksud: “Maka, adakah patut sesudah itu mereka mencari agama yang lain selain agama Allah (Islam)? Padahal kepada Allah menyerahkan diri (Islam) segala apa yang di langit dan di bumi, baik secara sukarela (pilihan sendiri) mahupun terpaksa (mengikut fitrahnya); dan hanya kepada-Nya mereka dikembalikan”.
“Islam yang difahami di sini adalah daripada perkataan ‘al-din’ dalam bahasa al-Quran, bukan daripada perkataan agama dengan maksud yang sempit dan tidak sempurna.
“Islam yang merupakan petunjuk Allah yang sempurna kepada manusia dalam semua urusan kehidupannya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











