Anty Expo dan promosi vape: Kerajaan di manakah?

Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat tiada kesungguhan mahu menjaga kesihatan awam apabila Ekspo Industri Tembakau Baharu Asia (Anty Expo) yang terus diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Mines dari 8 hingga 9 September lepas.

Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mempersoalkan tindakan kerajaan dengan menyatakan kehairanannya mengenai kesungguhan kerajaan dalam menjaga kesihatan awam, sambil mempertanyakan sama ada ekspo tersebut dijalankan dengan pengetahuan dan kelulusan kerajaan.

- Advertisement -

“Keputusan kerajaan mengeluarkan Nikotin dari Akta Racun telah mengecewakan ramai pihak bahkan pada waktu itupun Pengerusi JKPK (Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan)  yang menjawat Menteri Kesihatan hari ini menyokong untuk Nikotin disenaraikan semula dalam Akta Racun. Alasan kerajaan mahu mengutip cukai cecair atau Gel Nikotin Vape,” katanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, lakuna dari tempoh itu sehingga kuatkuasa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang masih belum berlaku mengundang 1001 masalah di kalangan generasi muda hari ini.

Jelas beliau, rakyat Malaysia ternanti-nanti akta yang mengecewakan ramai pihak iaitu pengguguran GEG (kempen generasi penamat) diluluskan di Dewan Rakyat Disember lalu itu akan dikuatkuasakan.

“Menteri Kesihatan memaklumkan Jun kemudian Ogos dan kini dijangkakan penghujung tahun ini.

“Kes Evali ( E-cigarette or Vaping Use-Associated Lung Injury ), kematian remaja yang disyaki ketagihan vape, keracunan cecair vape pada kanak-kanak dan kini, kes kesan kandungan bahan Mushroom (Psilocybin-Halusinogen) menyebabkan halusinasi dan bocor paru-paru atau Pneumothorax menjadi begitu ketara,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Yunus berkata, amat malang hari ini apabila Anty Expo yang dikatakan secara terang-terangan mempromosikan dan memberikan secara percuma vape telah diadakan di hadapan mata rakyat Malaysia. 

Menurutnya, mungkin itu adalah kesempatan bagi mereka untuk mempromosikan vape sebelum akta dikuatkuasakan.

“Soalnya di mana kerajaan? atau Menteri yang bertanggungjawab menjaga kesihatan rakyat Malaysia.

“Adakah akta yang belum dikuatkuasakan akan menjadi alasan? dan pihak penganjur akan terlepas begitu sahaja!

“Berapa ramai generasi akan datang yang telah menjadi korban di bawah sang penguasa yang ada hari ini,” katanya.

Terdahulu portal Malaysia Now melaporkan, seorang bapa, Loh Kim Seng telah melahirkan rasa terkejut dengan penganjuran sebuah ‘pameran perdagangan’ untuk produk vape, lengkap dengan jurujual berpakaian seksi dan pemberian vape percuma, di sebalik kritikan terhadap komitmen kerajaan untuk melindungi kesihatan awam.

Menurut laporan Malaysia Now itu, Loh merujuk lkepada Ekspo Industri Tembakau Baharu Asia (Anty Expo) yang diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Mines dari 8 hingga 9 September.– HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -