Gabungan Muslimat bentuk kepimpinan negarawan

- Advertisement -

TEMERLOH: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan kepentingan peranan wanita dalam membentuk masa depan negara dan mempertahankan Islam.

- Advertisement -

Menurut beliau, wanita tidak hanya menghadapi cabaran sebagai isteri dan ibu, tetapi juga sebagai penyumbang ekonomi keluarga dan negara.

Dalam ucaptama sempena Muktamar Tahunan DMPM Ke-64 yang berlangsung di Dewan Al Makmur, Kerdau, beliau menekankan bahawa pada suku tahun pertama 2024, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 34 juta, dengan peningkatan penduduk lelaki kepada 17.8 juta dan perempuan kepada 16.1 juta.

“Nisbah jantina penduduk warganegara pula adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan, menggambarkan wanita merangkumi hampir separuh daripada populasi negara,” katanya.

Ustazah Nuridah turut menekankan keperluan wanita sebagai pemimpin dan negarawan Islam yang berwawasan.

Beliau menyatakan bahawa DMPM menyokong agenda pemerkasaan wanita dalam pelbagai sektor, termasuk ahli parlimen, dewan undangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Usaha ini selaras dengan pemikiran kepimpinan wanita menurut Islam, yang menegaskan pentingnya wanita memimpin dengan berpandukan ajaran agama,” ujarnya lagi.

Selain itu, Ustazah Nuridah turut memberi perhatian kepada pembangunan generasi muda melalui Ameerah dan Jabatan Muslimat Profesional.

“DMPM sedang menyediakan pelbagai modul pendidikan berterusan untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berintegriti dan berwawasan akhirat.

“Pendidikan dalam bidang agama dan sains moden dilihat penting untuk memastikan wanita muda mampu menyumbang kepada kemajuan ummah di era globalisasi,” tambahnya.

Beliau yakin, gabungan muslimat muda yang berdaya saing dan muslimat veteran yang berpengalaman dapat menghasilkan kepimpinan muslimat negarawan yang teguh mempertahankan Islam dan menyumbang kepada pembangunan negara berdasarkan ajaran agama. HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -