
TEMERLOH: Rakyat didedahkan dengan pelbagai isu pendidikan negara yang ada diantaranya tiada jalan penyelesaiannya, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) katanya, seolah-olah tidak menemui jalan penyelesaian, sama ada dari sudut perkembangan kurikulum, bebanan kerja guru melampaui tugas hakiki, penempatan guru, isu beg sekolah murid kerana lambakan subjek dan pelbagai lagi.
Menurut beliau lagi, KPM seharusnya merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mempunyai empat elemen penting dalam memastikan keseimbangan individu iaitu elemen jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
“Empat elemen itu kekal sejak 1988 dan masih relevan sehingga hari ini.
Hanya pendekatan sahaja yang diubah,” katanya dalam Ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Nuridah juga menegaskan, KPM wajar melihat semula kepincangan berkaitan sistem pendidikan agar dapat diperbaiki supaya tidak menjadi natijah yang buruk khususnya kepada perkembangan pelajar serta guru-guru.
“Tragedi kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menjadi mangsa buli dan kes-kes pembunuhan yang lain, tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan individu muslim yang berpendidikan.
“Trajedi itu, benar-benar mencabar kemenjadian pelajar dan menggugat kemurnian kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan negara itu sendiri,” tegasnya.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya mendesak agar KPM membuat siasatan lebih lanjut terhadap beberapa kelemahan yang menjadi faktor berlakunya tragedi tersebut.
Dalam pada itu, ujar beliau, satu laporan hasil kajian yang komprehensif terhadap budaya buli di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau sekolah dibentang dalam persidangan Dewan Rakyat pada perlu diadakan dalam tempoh waktu yang terdekat.
“Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh KPM adalah berkaitan kadar keciciran dari kalangan pelajar sekolah rendah terutama penguasaan asas literasi, yang dilihat semakin meningkat.
“(Sementara) masalah yang menimpa pelajar sekolah menengah pula, tidak berminat pengajian selepas SPM. Hal ini juga didapati begitu ketara,” tambahnya.
Beliau mempersoalkan sama ada perkara berkenaan berlaku disebabkan kerana beban silibus yang mengurangkan minat pelajar atau pengaruh dari media sosial.
Sekiranya keadaan ini berterusan, soalnya lagi, bagaimana nasib generasi akan datang yang akan menjadi pemimpin negara suatu hari nanti.
Sementara berkaitan isu keterlibafan syarikat arak di sekolah, pihaknya merasa amat kesal dan membantah sekeras-kerasnya kerana ia bertentangan dengan roh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Sekolah sepatutnya menjadi institusi ilmu yang bebas dari sebarang pengaruh yang boleh membawa mudarat seperti dadah, rokok, vape, dan arak.
“Kita sendiri boleh lihat bagaimana kes-kes yang melibatkan arak seperti pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, keganasan rumah tangga, ketagihan dadah dalam kalangan remaja dan lain-lain seolah-olah tidak dapat dibendung dan ditangani sehingga kini.
“Hukuman terhadap mereka yang menyebabkan kehilangan nyawa ketika memandu dalam keadaan mabuk dan ketagihan dadah masih terlalu ringan.
“Jadi apa harapan negara untuk membendung isu ini sekiranya
penerimaan arak dinormalisasikan di premis pendidikan malah mempromosikan pula sejak di peringkat sekolah,” ujarnya kesal.
Dalam perkembangan yang sama kata Nuridah, sistem pendidikan negara perlu kepada transformasi yang bersifat mendasar.
Pihaknya juga menegaskan sistem pendidikan Islam perlu diarus perdanakan dalam kerangka pendidikan negara yang lebih menyeluruh merentasi semua kurikulum yang berteraskan paradigma tauhid dan keimanan kepada Allah SWT.
“Pada hari ini pendidikan Islam hanya diletakkan sebagai satu subjek yang tidak dilihat penting berbanding subjek yang lain.
“Kepadatan kandungan dalam satu subjek pendidikan Islam hanya menyebabkan proses pembelajaran tertumpu kepada aspek kognitif dan sedikit ruang untuk aspek amali,” ujarnya.
Justeru kata beliau, keterbatasan subjek pendidikan Islam menyekat kreativiti pelajar dalam menghayati ajaran Islam secara praktikal dalam
kehidupan yang menyeluruh.
“Kemenjadian pelajar bukan hanya dinilai berdasarkan pencapaian dari sudut kognitif yang berorientasikan peperiksaan semata-mata.
“Subjek pendidikan Islam perlu diangkat lebih tinggi melangkau subjek yang lain dan melalui proses transformasi dalam kerangka
sistem pendidikan yang holistik dan rabbani.
“Penekanan hendaklah diberikan kepada penghayatan nilai tauhid dan akhlak yang diperkukuhkan dalam semua subjek sama ada subjek agama atau bukan agama di semua peringkat pembelajaran,” tegasnya lagi.
Seterusnya, pelajar hendaklah diberikan bimbingan berterusan bukan sahaja menerusi fakta-fakta ilmiah dalam bilik darjah atau premis pendidikan formal tetapi dibimbing sebagai individu muslim agar mampu dicernakan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Manakala tambahnya, kurikulum untuk pelajar yang bukan Islam perlu diperkasakan lagi dengan nilai-nilai mulia selaras dengan ajaran agama masing-masing sehingga wujud kehidupan harmoni, saling faham-memahami dan hormat-menghormati antara kaum dan agama dalam konteks negara bermasyarakat majmuk. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











