
TEMERLOH: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyeru agar wanita muslim mencontohi tokoh-tokoh Islam seperti Saidatina Khadijah RA dan Saidatina Aisyah RA dalam memperjuangkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata, pentingnya penglibatan wanita dalam memperkukuhkan ekonomi keluarga, terutama dalam menghadapi cabaran krisis ekonomi global yang diramalkan pada tahun 2024.
Dalam Muktamar Tahunan DMPM Ke-64, Ustazah Nuridah menekankan keperluan wanita menyusun strategi pengurusan rumah tangga dan menceburi bidang pertanian, perikanan, serta penternakan untuk memastikan keterjaminan makanan keluarga.
Selain itu, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai impak sosial dan mental akibat krisis ekonomi, seperti peningkatan kes perceraian dan kesihatan mental.
“DMPM juga mengambil langkah proaktif dengan membangunkan modul Kursus Keluarga Sejahtera (KRS) bersama Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA), serta memperluaskan perkhidmatan Taska Tunas Insan (TASTI) ke seluruh negara.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak dan pembangunan keluarga,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pendidikan kesedaran berlandaskan syariat Islam diperkasakan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan wanita, terutama di tempat kerja dan di khalayak ramai, demi mengekang peningkatan kes keganasan terhadap wanita di Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











