
HANOI: Agensi pengurusan bencana Vietnam (VDMA) memaklumkan taufan Yagi, tanah runtuh serta banjir yang berlaku telah mengorbankan sekurang-kurangnya 63 nyawa dengan 40 yang lain hilang di utara negara itu.
VDMA dalam laporannya berkata, kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah disebabkan oleh tanah runtuh dan banjir kilat, sambil menambah bahawa 752 orang telah cedera disebabkan bencana itu, lapor AFP.
Taufan Yagi yang berlaku pada Sabtu lepas di pantai timur laut Vietnam telah memusnahkan sebahagian besar kawasan perindustrian dan kediaman serta mengakibatkan hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang berbahaya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Nguyen Hoang Hiep berkata, “Keadaan banjir sangat serius. Kami telah mengarahkan pelepasan air dari takungan.
“Penduduk tempatan perlu aktif untuk menyokong dan memastikan keselamatan penduduk dan aset mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut agensi dan media kerajaan negara itu, beberapa sungai di utara Vietnam telah meningkat ke paras yang membimbangkan, menyebabkan kampung dan kawasan perumahan ditenggelami air.
Sementara itu, jawatankuasa rakyat di kawasan berkenaan memaklumkan, sebuah jambatan berusia 30 tahun yang merentangi Sungai Merah, di wilayah utara Phu Tho telah runtuh pada Isnin dan operasi sedang dijalankan bagi mencari 13 individu yang hilang dalam kejadian itu.
Yagi, menurut ahli kaji cuaca merupakan taufan paling kuat melanda Vietnam utara dalam tempoh 30 tahun yang telah meruntuhkan jambatan, merobek bumbung bangunan dan merosakkan kilang selepas membawa angin dengan kelajuan melebihi 149 kilometer sejam. -Agensi/– HARAKAHDAILY 10/9/2024




















