Sidang DUN Perlis lulus pelantikan Senator baharu

Speaker DUN Perlis, Russele Eizan menyerahkan watikah pelantikan kepada Baharuddin dan Azahar sambil diperhati oleh Mohd Shukri
- Advertisement -

KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis meluluskan pelantikan dua Ahli Dewan Negara baharu yang dikemukakan cadangannya oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Dua individu dilantik sebagai Senator ialah Baharuddin Ahmad, 68, yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis dan Azahar Hassan, 54, iaitu Setiausaha BERSATU Perlis.

Usul cadangan pelantikan tersebut telah mendapat sokongan penuh daripada semua 15 Ahli Dewan dalam persidangan diadakan di sini hari ini.

Baharuddin yang merupakan ahli PAS sejak tahun 1982, pernah menjadi calon Parlimen Kangar (P.02) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan pada PRU ke-14.

Sebelum bersara, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Negeri Pulau Pinang di Pos Malaysia yang menurutnya pelantikan ini merupakan amanah dan tanggungjawab besar.

“Lantikan ini bukan untuk habuan dunia, tetapi satu beban yang berat untuk dilaksanakan,” ujarnya selepas majlis pelantikan di Kompleks DUN, di sini hari ini.

Azahar Hassan pula adalah seorang pesara guru yang pernah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kampung Salang, di mana beliau juga adalah Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Bahagian Kangar.

Watikah kepada Baharuddin dan Azahar telah disampaikan oleh Speaker DUN Perlis, Russele Eizan di mana pelantikan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan pentadbiran Kerajaan PN di negeri ini. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -