
KOTA BHARU: Kejayaan Kelantan Warriors menjadi johan pertandingan STL Division 1 selepas menewaskan Selangor Piston baru-baru ini memberi harapan baharu untuk pembangunan sukan di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, kemenangan itu juga memberikan kegembiraan buat arena sukan di Kelantan selepas kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) menduduki tangga kedua tercorot sepanjang tiga edisi berturut-turut.
Menurutnya, pada masa yang sama pula prestasi terumbang-ambing Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam saingan Liga Super.
Katanya, kerajaan negeri memberi sokongan tidak berbelah bahagi pada aktiviti sukan di negeri ini termasuk kepada Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) dalam memastikan persiapan pasukan untuk mengaharungi STL Premier.
“Kita turut berharap selepas ini Gastak akan bekerjasama dengan Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) untuk merencana pembangunan sukan sepak takraw di negeri ini.
“Kita sudah menyediakan peruntukan untuk tujuan itu. Tapi hujung tahun ni bajetnya tak besarlah,” ujarnya pada media ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Kelantan Warriors 2024, di sini malam tadi.
Sementara itu, Presiden Gastak, Dato’ Abdul Fattah Mahmood, menyasarkan Kelantan Warriors menjadi empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier.
Pertandingan itu, katanya akan bermula 11 September sehingga 2 November nanti.
Abdul Fattah berkata, sekiranya sasaran itu mampu dicapai ia boleh dianggap sesuatu yang besar buat Kelantan Warriors selaku pendatang baharu dalam saingan STL Premier musim ini.
Menurutnya, bagaimanapun barisan pemain mengimpikan untuk merangkul kejuaraan saingan itu nanti.
“Kita (Kelantan Warriors) akan bergerak ke arah itu (menjadi juara). Saya yakin dengan prestasi pemain dan pengalaman rentak yang ada semasa bangkit Selangor Pistons 2-1 pada aksi final STL Divisyen 1 di Melaka baru-baru ini,” katanya.
Sehubungqn itu beliau berharap, berharap rakyat Kelantan yang berada di Lembah Klang dapat turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu kepada Kelantan Warriors.
Katanya, Kelantan Warriors yang diundi dalam kumpulan A akan membuka saingan menentang Kuala Lumpur Thunders di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor esok pada pukul 8 malam. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











