
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan 11 negeri sehingga 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataanya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Selain itu, kawasan di Perak (Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar); Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang); dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Bera dan Rompin).
“Seterusnya, kawasan di Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang); Johor (Tangkak, Segamat dan Muar); dan kawasan Sarawak di Kuching (Lundu dan Kuching), Samarahan, Sibu (Kanowit) dan Kapit (Song).
Sementara itu, kawasan Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Beaufort), Pantai Barat (Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas).
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024




















