
KLANG: Seorang pelajar kolej vokasional Rezi Ajmal Islam, 18, maut digilis sebuah kenderaan berat dalam kemalangan di Jalan Telok Gong, di sini, lebih kurang jam 7.30 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP), Cha Hoong Fong, berkata kemalangan itu melibatkan dua buah motosikal dari arah yang bertentangan bergerak secara lurus lalu bertembung di tengah-tengah jalan.
“Akibat dari pertembungan tersebut, mangsa (si mati) telah tercampak di atas jalan raya lalu digilis oleh sebuah kenderaan berat yang masih belum dikenal pasti.
“Sementara, seorang lagi mangsa penunggang motosikal mengalami cedera parah dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Hoong Fong berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan tersebut diminta untuk menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian telefon 03-3372 2222.
“Pihak Polis Diraja Malaysia juga ingin mengingatkan kepada semua pengguna supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah di jalan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024




















