
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu menempelak kenyataan Naib Presiden DAP, Teresa Kok Suh Sim kerana menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia berkenaan isu pensijilan halal.
Timbalan Pengerusi 2 Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS Terengganu, Ammar Easeer Anuar berkata, isu yang dicetuskan Teresa Kok juga telah menimbulkan kontroversi hangat dan semakin mengeruhkan keadaan.
“Teresa Kok berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
“Susulan daripada kenyataannya, beliau telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu Islam yang amat menitikberatkan mengenai sumber halal dan haram dalam pemakanan seharian.
“Umat Islam diwajibkan memilih makanan yang halal dalam kehidupan seharian mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Ammar berkata, isu halal menjadi serius apabila beberapa restoran besar yang menjadi tumpuan umat Islam didapati tidak mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak kebelakangan ini.
“Perkara ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di Malaysia khususnya kerana ketiadaan sijil halal yang sepatutnya dimiliki oleh pengusaha restoran.
“Sebuah restoran yang mempunyai reputasi yang baik di peringkat global, sepatutnya menitikberatkan isu pensijilan halal apabila ingin membuka restoran di negara ini apatah lagi jika dibuka di kawasan yang umumnya menjadi tumpuan umat Islam,” ujarnya lagi.
Sehubungan itulah, Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Setia Dr, Mohd Na’im Mokhtar telah mencadangkan untuk mewajibkan sijil halal dimiliki oleh setiap restoran.
Dalam pada itu Ammar menegaskan, tindakan Teresa Kok, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook diibaratkan bak api dalam sekam apabila cuba mengeluarkan kenyataan untuk mengulas isu cadangan mewajibkan sijil halal tersebut.
“Hal tersebut dilihat sangat tidak wajar dilakukan oleh pimpinan tertinggi bukan Islam dan hanya menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat di Malaysia,” katanya.
Justeru, GAMIS Terengganu menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan keterjaminan pemakanan yang halal dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat semalam sebanyak 28 laporan polis terhadap Teresa berhubung kenyataanya kenyataannya yang berkait isu sijil halal.
Rentetan itu, satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam laporan hari ini pula, Razarudin berkata, kertas siasatan membabitkan Teresa Kok susulan kenyataannya mengenai pensijilan halal akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh dua hari untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihak polis sudah hampir melengkapkan siasatan kes berkenaan selepas keterangan Teresa Kok dirakam pada pagi semalam. – HARAKAHDAILY 10/9/2024




















