Hormati penganut Islam, hanya reviu makanan kedai halal

Tangkap skrin gambar daripada video yang dikongsikan di TikTok @Abe Wee.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Wee Chuan Chin, 30, atau dikenali sebagai Abe Wee menghormati pengikutnya yang beragama Islam dan mengambil sikap tegas dengan hanya memilih kedai yang ada sijil halal untuk membuat konten reviu makanan.

Meskipun beliau berbangsa Cina, namun Abe Wee berpendapat isu sijil halal yang didakwa memalukan negara tidak sepatutnya timbul.

- Advertisement -

Baru-baru ini, beliau telah memuat naik satu video di Tiktok miliknya bagi memberi pendapat bahawa sijil halal bagi setiap premis makanan adalah jaminan dan keyakinan buat umat Islam, bahkan dia sendiri tegas memastikan kedai tersebut mempunyai sijil halal sebelum membuat reviu makanan.

“Abe Wee berbangsa Cina tapi Abe Wee hormat ‘followers’ (pengikut) Melayu. 

“Bagi Abe Wee, tak salah pun isu sijil halal ini dan bahagian mana yang ‘memalukan’ negara itu?

“Walaupun negara kita berlainan agama dan bangsa, bukan semua isu dalam negara ini kita perlu masuk campur. 

“Jangan disebabkan politik, kita masuk campur hal ehwal agama orang lain,” katanya dalam video tersebut.

Menurutnya, sijil halal bagi setiap premis adalah perlu, selain seiring ‘tagline’ yang selalu diucapkan olehnya ‘yang penting halal’.

Video tersebut (ketika berita ini ditulis) telah meraih 1.2 juta  tontonan (views), 155.6K tanda suka (likes) dan 7487 komen di TikToknya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan pendapat yang dikemukan oleh Abe Wee yang juga abang kepada personaliti media sosial, Wee Yun Nee yang mesra disapa Mekyun.

“Ini baru maksud sebenar integrasi sebenar cina dan Melayu. Terima kasih Abe Wee,” ujar @Safwan|Tech & Lifestyle.

“Video Abe Wee kali ni, buat saya terharu. Tak tahu kenapa. Terima kasih Abe Wee untuk video yang hebat ini. Teruskan Abe Wee,” kata @khaivul_awingfans.

Apa yang menarik, ada juga orang bukan Islam yang bersependapat dan menyokong kenyataannya  Abe Wee, anak kelahiran Kelantan ini.

“Aku pun selalu cek sijil halal kalau makan walaupun aku bukan Islam kerana biasanya kedai ada sijil halal bersih,” kata @midOnly.

“Tidak sepatutnya (kenyataan) menyebut ‘memalukan negara’ dan membuat kenyataan secara terbuka. Kenyataannya yang berjawatan itu haruslah mewakili rakyat,” ujar @momobq.

Sementara itu, ada juga netizen yang berkongsi tentang perpaduan sebenar yang dijelaskan dalam al-Quran daripada Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaua kamu kenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahunan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh yang juga Naib Presiden DAP, Teresa Kok dalam kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil; dan tindakan tegas seperti ini seperti memalukan negara. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -