
Euforia gembira dan keghairahan menyambut kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos separuh hambar akibat kemandoman ekonomi yang mengekang rasa gembira rakyat.
Latar sosioekonomi yang merosot lantaran pelbagai faktor dalaman dan luaran yang sedikit sebanyak rakyat sangat dingin walaupun pelbagai janji untuk mengembalikan kembali kemeriahan ekonomi.
Jauh berbeza dengan semangat patriotik rakyat negara lain menyambut tanggal penting kemerdekaan tanah air mereka. Kesilapan paling besar pemerintah sebelum ini ialah tidak meluruskan sejarah perjuangan kemerdekaan. Hanya kelompok nasionalis kanan yang dibesarkan sumbangan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, dengan menafikan peranan Islamis dan alim ulama.
Langit sejarah merakamkan seawal abad ke-20, menyaksikan kemunculan arus kesedaran Islam di Tanah Melayu dalam memperjuangkan nasib Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Ulama dan agamawan menjadi tonggak utama dalam perlawanan menentang imperialisme di tanah watan ini.
Antaranya gerakan menentang penjajah di Kelantan oleh Tuan Guru Haji Hassan Munas (Tok Janggut) pada 1915, juga kebangkitan ulama dalam menentang penjajah Barat di Terengganu pada 1928 yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong serta gerakan Sarekat Islam Terengganu yang mengibar bendera Khilafah Uthmaniah.
Kebangkitan Ulama Tanah Melayu juga mengakar dari simbahan kebangkitan ulama Islam yang berlaku di seluruh belahan dunia ini.
Islam menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar sebagaimana yang dimanifestasikan oleh dua peristiwa tersebut di Tanah Melayu.
Di luar Tanah Melayu seperti Indonesia, Mesir, Libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam lain, Islam menjadi kuasa penggerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajah Barat dan menyuntik energi perjuangan kepada pejuang kemerdekaan.
Ulama dan gerakan Islam menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader Al Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan Al Banna di Mesir, Sheikh Amin Al Husini di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Imam Diponegoro (Perang Jawa 1825-1830) di Indonesia, Tuan Guru Hassan Munas (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922-1928) di Tanah Melayu.
Malangnya bagi umat Islam ialah walaupun kemenangan menentang penjajah adalah kerana kegigihan ulama dan pendokongnya, buah kemanisan kejayaan kemerdekaan dipetik oleh golongan sekular berpendidikan Barat seperti Front Liberation Nasionalis (FLN) di Algeria pada tahun 1962. Soekarno dan kelompoknya di Indonesia dan Umno di Tanah Melayu. Kelompok ini yang mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh penjajah.
Pada awal abad 20, gerakan Isla Islamiah mencetuskan fenomena bahkan meriuhkan seketika tentang perbahasan agama di Tanah Melayu.
Gerakan yang juga digelar sebagai kaum muda ini, antara lain berpunca daripada pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tengah yang memperjuangkan citra perjuangan agama yang perlu dimurnikan daripada khurafat dan bidaah, juga kesedaran pan Islamisme bertolak daripada penjajahan yang menimpa umat Islam oleh kuasa Barat pada abad ke 19 dan abad ke-20.
Gerakan ini telah menyebarkan fahaman mereka melalui wacana penulisan, pendidikan dan aktiviti berpersatuan.
Sedikit sebanyak, gerakan kaum muda menginspirasikan orang Melayu untuk menyertai gerakan politik perlawanan dan juga menyuburkan dunia pendidikan yang akhirnya diterjemahkan dengan penubuhan Hizbul Muslimin pada tahun 1948 di Mahaad Al- Ehya Asyariff Gunung Semanggol.
PAS sebagai mana gerakan Islam lain telah merakamkan nama di langit sejarah merupakan tuntutan beragama yang memerlukan kewujudan tanzim atau organisasi tersusun untuk menegakkan Islam.
Di Mesir tertubuhnya Ikhwanul Muslimin oleh Hassan Al – Banna pada tahun 1928 di subcontinent tertubuhnya Jamaat- e-Islami oleh Maulana Maududi, Jamaah An-Nur di Turki, Majlis Syura Muslimin di Indonesia dan PAS di Tanah Melayu.
Sejarah penubuhan PAS adalah berkaitan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam kontemporari yang telah diharamkan oleh penjajah British pada Jun 1948.
Hizbul Muslimin ditubuhkan Maahad Ar-Ehya asyariff di Gunung Semanggol, Perak dengan idea daripada tokoh-tokoh politik kiri seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Muslimin (Masyumi).
Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan didukung oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru serta pelajar agama.
Pertubuhan politik Islam ini telah mensasarkan tiga matlamat utama perjuangan, iaitu untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, membentuk negara Islam yang bersifat sejagat dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam.
Dengan citra besar dan nuansa yang murni inilah yang memungkinkan British menghidu bahaya yang dibawa oleh parti Islam ini yang dilihat mampu menggembleng sokongan orang Melayu. Penjajah British seperti yang diungkapkan Sir Lord Cromer (The Modern Egypt) tidak akan membenarkan tegaknya negara Islam di mana sahaja wilayah jajahan British walaupun sesaat. – HARAKAHDAILY 7/9/2024
Penulis adalah Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















