
DI Tel Aziz kini saban minggu berpuluh ribu warga Israel turun ke jalan-jalan bandar pentadbiran negara haram tersebut demi menuntut pemerintah agar akur dengan syarat rundingan gencatan dan tidak lagi merumitkannya dengan syarat-syarat baharu yang tidak masuk akal.
Gesaan itu semakin memuncak apabila media di sana melaporkan penemuan enam mayat tahanan di Gaza. Mereka melihat serangan demi serangan yang dilancarkan ke Gaza bukan sahaja mengorbankan mangsa dalam kalangan penduduk Gaza, malah mengakibatkan risiko kematian warga Israel yang ditahan. Demonstrasi tidak berhenti setakat itu bahkan diikuti dengan tindakan mogok oleh pekerja di Israel.
Pada 2 September lalu, terjadi pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Tel Aviv. Penunjuk perasaan menuntut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk bersetuju dalam rundingan gencatan senjata dengan Hamas.
Mereka berteriak, “Sekarang! Sekarang!” sambil menuntut Netanyahu mencapai gencatan senjata dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas dan mengusahakan kepulangan tawanan yang berbaki. Ramai warga Israel menyekat jalan-jalan di Tel Aviv dan berdemonstrasi di luar pejabat Netanyahu di sebelah Barat.
Dalam satu kenyataan aktivis yang mewakili keluarga tawanan Israel yang ditahan di Gaza, mengatakan kematian enam orang tahanan yang ditemui baru-baru ini adalah bukti kegagalan Netanyahu mencapai kesepakatan menghentikan peperangan dan membawa pulang orang yang mereka kasihi.
Gil Dickman yang kehilangan sepupunya dalam serangan di Gaza, mendesak warga Israel untuk memberikan tekanan lebih kuat terhadap pemerintah mereka. Beliau mengajak warga Israel turun ke jalan raya dan menutup semua aktiviti negara sehingga semua tawanan dapat dibawa pulang.
Dalam pada itu kolumnis akhbar Israel, Haaretz, Gideon Levy, mengatakan bahawa Netanyahu hanya membela parti sayap kanan dalam pentadbirannya yang menentang apa jua bentuk rundingan dengan Hamas. “Mereka tidak peduli dengan nasib para tawanan,” katanya.
Gideon Levy turut menekankan bahawa dalam Parti Likud, iaitu kelompok terbesar dalam parti pakatan pemerintah, Netanyahu memiliki kekuasaan penuh dan parti tersebut mendokong tindakannya. Oleh itu, tindakan yang kontra dengan Netanyahu dari blok pemerintah sangat terbatas.
“Satu-satunya cara yang mungkin berhasil adalah melalui protes jalanan, namun masih terlalu awal untuk menilainya,” tambahnya.
Tunjuk perasaan dan tindakan mogok kerja dari warga Israel berlangsung di pelbagai wilayah Israel bermula 2 September lalu setelah pasukan tentera menemui enam mayat tawanan warga Israel dalam terowong bawah tanah di Gaza.
Tindakan protes massa secara besar-besaran bertujuan untuk menekan pentadbiran Netanyahu agar mencapai kesepakatan dengan Hamas untuk pertukaran tawanan Israel dan tahanan warga Palestin di negara tersebut.
Ketua Persekutuan Buruh (Histradrut), Arnon Bar-David, mengumumkan pada 1 September lalu bahawa akan berlaku tindakan mogok secara besar-besaran bertujuan menggesa pemerintah Israel membawa pulang tawanan yang dijangka masih hidup. Bar-David menyebut ratusan ribu orang akan turun ke jalan raya dalam demonstrasi besar-besaran di pelbagai wilayah Israel.
Pemerintah Israel akan berhadapan dengan kesan buruk akibat aktiviti ekonomi yang terhenti secara serentak di bandar-bandar utama negara haram itu. – HARAKAHDAILY 7/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















