Wuduk ibarat mandi lima kali sehari

- Advertisement -

TUGAS nabi dan rasul yang seterusnya ialah membersihkan manusia. Bersih dari segi zahir contohnya mandi dan solat. Sebelum kedatangan Islam, orang tidak mandi, rambut panjang sehingga ke tumit, tidak berpakaian menutupi seluruh tubuh dan tidak memotong kuku. Islam datang mengajar mengenai kebersihan.

Contohnya, rambut orang perempuan ada hadnya, hendaklah dipotong dan janganlah terlampau panjang. Perlu mandi, ada mandi biasa, mandi sunat seperti mandi sunat hari raya atau hari Jumaat dan juga mandi wajib kalau selepas melakukan persetubuhan antara suami isteri atau bermimpi.

- Advertisement -

Islam juga mengajar mengambil wuduk. Dalam satu hadis (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 528 dan Imam Muslim: 667), Nabi berkata, “Macam mana kalau kamu ada sungai di depan rumah kamu dan kamu mandi 5 kali sehari, adakah masih tersisa daki kotoran?” Sahabat berkata, “Tidak tersisa lagi daki kotoran.” Nabi berkata, “Begitulah juga solat 5 waktu.”

Sebab setiap kali solat, kita akan mengambil wuduk. Jadi, dengan sendirinya diri kita akan bersih secara zahirnya. Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk memperbaharui wuduk setiap kali sebelum solat. Besar pahalanya. Selain menyegarkan tubuh, wuduk juga dapat membersihkan.

Yang paling penting ialah membersihkan hati dan jiwa kita. Cara untuk membersihnya jiwa kita, antaranya adalah dengan tauhid. Sebab kekotoran yang paling utama dalam jiwa manusia ialah syirik.

Apabila percaya ada Tuhan selain Allah, itulah kekotoran yang paling besar yang boleh merosakkan kebanyakan manusia. Jadi, akidah Islam mengajar kita supaya mentauhidkan Allah iaitu mengesakan-Nya dan juga memohon pertolongan daripada-Nya.

Itulah hakikat “Iyyaka na’budu …” Nabi sendiri ajar (Rujuk Riwayat Imam Tirmizi: 3604), apa-apa pun mintalah dengan Allah hatta kalau tali selipar terputus sekalipun. Nak kata, biarlah hubungan kita dengan Allah selalu ada.

Ada banyak perkara yang manusia tidak mampu buat contohnya penyakit. Kena ingat, apabila sakit, berubat itu adalah ikhtiar, tetapi kita perlu minta dengan Allah untuk menyembuhkannya. Tidak boleh bergantung kepada doktor pakar sebab dia pun manusia seperti kita juga. Dia hanya berusaha. Sembuh atau tidak itu Allah yang menentukannya.

Orang yang menolak ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim iaitu agama Islam sebenarnya memperbodohkan dirinya sendiri. Sebab Nabi Ibrahim ialah pilihan Allah. Agama yang dibawanya juga dipilih oleh Allah SWT.

Nabi Ibrahim hidup selama 175 tahun. Munasabah sebab pada ketika itu manusia tidak ramai. Oleh sebab itu, Allah menjadikan umur manusia panjang. Contohnya Nabi Nuh, baginda berdakwah selama 950 tahun. Itu baru dakwah sahaja, bukan hidupnya. Walaupun begitu, tidak ramai yang masuk Islam kecuali lebih kurang 70 orang sahaja. Kalau bertanding pilihanraya, ibarat hanya menang 1 kerusi sahaja.

Bukan senang nak membawa agama. Nabi menyebut dalam hadis (Rujuk Riwayat Ibnu Hibban: 716):

حُفَّتِ الجنَّةُ بالمكارِهِ وحُفَّتِ النَّارُ بالشَّهواتِ

Tarikan kepada neraka ialah apa yang nafsu suka. Benda yang memang manusia inginkan. Tetapi kalau syurga, tarikannya ialah apa yang nafsu tidak suka seperti tidak boleh minum arak dan tidak boleh mencuri. Jarang manusia mencari syurga sebab laluannya payah dan tidak menarik. Laluan ke neraka menarik dan banyak tarikannya. Oleh sebab itu, ramai yang terjerumus ke dalam dosa. – HARAKAHDAILY 7/9/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -