
KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi merakamkan rasa terkilan dan kecewa atas sikap dan pendirian Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang membantah cadangan menempatkan pegawai Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) di semua jabatan kerajaan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MCCBCHST secara sengaja dan konsisten menimbulkan suasana tidak harmoni dan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.
“Lebih malang lagi, naratif sumbang dan berbahaya MCCBCHST ini bukan sahaja dibuat tanpa bukti yang jelas dan sah, malah ditimbulkan sebaik sahaja sambutan Hari Kebangsaan ke-67 beberapa hari lepas.
“Sama seperti bantahannya terhadap cadangan pindaan Akta 355 untuk memperkukuh Mahkamah Syariah pada April lepas, episod terbaharu bantahan MCCBCHST berhubung cadangan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan kerajaan bagi memastikan penggubalan dasarnya selari dengan prinsip Islam, jelas dibuat atas premis yang salah berdasarkan rujukan serta tafsiran undang-undang yang separuh masak, tidak tepat dan sewenang-wenang.
“Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, rujukan dan tafsiran sumbang undang-undang yang dikemukakannya itu hanyalah topeng untuk menyembunyikan wajah serta niat sebenarnya yang lebih gelap dan berbahaya,” katanya.
Tambah beliau, dalam kedua-dua kes bantahan ini, MCCBCHST jelas menunjukkan sikap Islamofobianya berserta naratif sumbang untuk menggambarkan bahawa sebarang langkah dan usaha untuk menambah baik kedudukan dan pengamalan Islam di negara ini merupakan ‘ancaman’ terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam.
“PAS percaya sikap serta pendirian MCCBCHST berhubung isu ini hanyalah andaian dan sentimen melulu semata-mata yang tidak boleh dipertahankan sama sekali.
“PAS juga mendapati pendirian MCCBCHST mempunyai kesan yang serius, malah merupakan cabaran terhadap hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas, hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat, serta menimbulkan persoalan berkenaan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,” tambahnya.
Takiyuddin dalam pada itu turut menegaskan bahawa MCCBCHST seolah-olah mahu berperanan sebagai hakim dan pendakwa sekali gus untuk menentukan tafsiran dan amalan agama orang Islam yang tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranannya.
Selain itu, menurutnya, MCCBCHST juga seolah-olah mempersoalkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta dukungan undang-undang terhadap ruang lingkup, bidang kuasa serta peranannya dalam pentadbiran negara dan kehidupan awam rakyat.
“Justeru, PAS dengan hormatnya menggesa MCCBCHST agar menarik balik kenyataan tidak berhemahnya berhubung usaha murni kerajaan untuk menyelaras dan menyeragamkan dasar dan programnya agar lebih selari dengan prinsip Islam, tanpa mengabai atau melanggar hak serta kebebasan orang bukan Islam yang bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan, malah terpelihara menurut ajaran Islam sendiri.
“PAS juga percaya MCCBCHST harus kembali kepada peranan asalnya sebagai badan perundingan antara agama dengan tujuan yang murni ke arah persefahaman dan keharmonian hubungan antara kelompok-kelompok agama di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, semalam, MCCBCHST dalam kenyataan media bersama mereka berkata, cadangan terhadap penempatan pegawai JAKIM itu berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan. – HARAKAHDAILY 3/9/2024




















