
SUNGAI PETANI: semua penumpang dan pemandu terselamat apabila bas yang mereka naiki terbakar di Jalan Kuala Ketil, di sini petang kelmarin.
Mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum bas tersebut terbakar dan semua mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata,10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4:36 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan sebuah bas dari Baling menuju ke Sungai Petani yang membawa tujuh penumpang dan seorang pemandu.
“Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya bersama bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang tiba terlebih dulu di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam pada itu menurutnya, kemusnahan bas jenis Tata itu dianggarkan hampir 60 peratus dengan anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – HARAKAHDAILY 3/9/2024











