Bantahan MCCBCHST jejas keharmonian kaum di Malaysia

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) yang telah menyuarakan bantahan mereka terhadap penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di semua jabatan kerajaan adalah jauh tersasar dari maksud penghayatan Islam dan dilihat cubaan menanam Islamophobia kepada rakyat berbilang agama di Malaysia.”

Mengulas lanjut, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, kenyataan MCCBCHST itu dilihat sebagai cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan menjejaskan keharmonian antara kaum di Malaysia.

- Advertisement -

“Sebagai majlis yang mewakili agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme ini sepatutnya tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam yang merupakan agama persekutuan Malaysia yang tertakluk di bawah Perlembagaan Malaysia. 

“Kenyataan mereka bahawa tafsiran Islam sebagai agama persekutuan di dalam Perlembagaan hanya bersifat ritual dan upacara sahaja jelas membuktikan salah faham yang ketara terhadap Islam yang meliputi semua aspek kehidupan yang diaplikasikan dalam pentadbiran seperti integriti, tadbir urus cemerlang, kepimpinan unggul dan keharmonian hubungan dalam pelbagai institusi,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberi peringatan kepada MCCBCHST supaya lebih berhati-hati dalam memberikan kenyataan yang melukakan perasaan umat Islam di Malaysia  dan menjejaskan hubungan pelbagai kaum di dalam negara. 

“Malah sesiapa juga yang berselindung di sebalik MCCBCHST yang cuba menanam ketakutan rakyat berbilang agama di negara ini terhadap Islam wajar diberi amaran agar keharmonian yang dikecapi pada ketika ini tidak diganggu gugat.

“MCCBCHST sepatutnya melihat kepada pelbagai keputusan mahkamah berdasarkan tafsiran para hakim terhadap Islam yang jauh melangkaui batasan ritual dan upacara sahaja seperti kes Lina Joy, Iki Putra Mubarak malah kes Nik Elin Zurina,” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan ahli parlimen Bagan Serai turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang pantas membalas hujahan dan memberikan pencerahan kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum kebenaran berdasarkan fakta yang tepat. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -