Hadapi akhir zaman: Umat Islam perlu kuasai empat ilmu utama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Umat Islam perlu memahami empat ilmu utama bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan Fiqh akhir zaman.”

Pendakwah bebas, Alang Ibn Shukrimun menyatakan bahawa ilmu Fiqh Nusus, yang merangkumi pemahaman terhadap nas agama, perlu dilengkapi dengan Fiqh Waqi’ untuk menyesuaikan nas dengan keadaan semasa. 

“Ia (Fiqh Nusus) berkait memahami kaedah periwayatan, saringan, tafsiran, takwilan dan seumpamanya,” katanya  dalam media sosial miliknya hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, empat ilmu yang penting sekurang-kurangnya untuk dipelajari bagi memahami nas akhir zaman ialah sains, sejarah, geografi, dan politik.

Beliau menjelaskan bahawa sains adalah penting kerana banyak nas tanda akhir zaman merujuk kepada objek dan fenomena alam seperti api, besi, matahari, emas, cahaya dan air.

“Sains tulen adalah ilmu memahami sistem dunia berfungsi. Justeru segala cabang sains tulen seperti fizik, kimia, biologi perlu difahami sebaiknya,” jelas beliau.

Selain itu, Alang menegaskan bahawa sejarah juga perlu difahami dengan baik untuk memahami masa depan yang disebut dalam nas, termasuk mengenali identiti seperti Dajal, Yakjuj Makjuj, Rom dan Arab yang disebutkan nas perlu dilihat secara keseluruhan bermula sejarah kemunculan atau kelahirannya.

Tambah beliau, ilmu geografi juga penting untuk mengetahui lokasi dan rupa bentuk bumi seperti pergunungan, mata air gelap, kiraan jarak yang disebut dalam nas, seperti Timur, Barat, Esfahan, Khurasan, Syam dan Tiberis.

Akhir sekali kata beliau, ilmu politik diangkat sebagai ilmu sains sosial yang paling sukar, tetapi amat diperlukan untuk memahami kekuasaan, kerajaan, kepimpinan, penaklukan, perjanjian, gencatan, peperangan yang disebut dalam nas akhir zaman.

“Memahami situasi politik semasa dan jangkaan mendatang adalah perlu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -