Fatemah Mohajerani, wanita pertama dilantik jurucakap kerajaan Iran

Fatemah Mohajerani
- Advertisement -

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam mesyuarat kabinet telah melantik Fatemah Mohajerani sebagai jurucakap baharu untuk kerajaan Iran, sekaligus menjadi wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan di negara itu.

Mohajerani, 54, telah dilahirkan di bandar Arak dan memperoleh Ijazah Kedoktoran di dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Kampus Edinburgh Universiti Heriot-Watt di Scotland, lapor Tehran Times.

Ketika pentadbiran Presiden Hassan Rouhani, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Latihan Teknikal dan Vokasional di Universiti Shariati, iaitu sebuah institusi yang dikhaskan untuk pelajar wanita.

- Advertisement -

Pada 2017, beliau turut dipilih untuk mengetuai Pusat Bakat Cemerlang, di mana sepanjang kerjayanya, telah memegang pelbagai peranan dalam Kementerian Pendidikan negara itu. 

Pelantikan Mohajerani sebagai jurucakap Iran adalah yang terbaharu dalam beberapa siri pelantikan wanita ke jawatan kanan baru-baru ini yang dibuat oleh kerajaan Iran.

Minggu lalu, Pezeshkian telah melantik Shina Ansari sebagai Timbalan Presiden Iran dan Ketua Jabatan Alam Sekitar.

Ansari, yang mana profil laman LinkedInnya menggambarkan beliau sebagai pakar alam sekitar yang berpengalaman, dengan sejarah yang ditunjukkan bekerja dalam perkhidmatan alam sekitar dan mahir dalam pengurusan sisa, pembangunan mampan dan pematuhan alam sekitar, menggantikan Ali Salajegheh sebagai Ketua Jabatan Alam Sekitar. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -