
JAKARTA: Dua calon utama yang bertanding untuk menjadi Gabenor Jakarta pada 27 November depan telah dikritik kerana ciapan mereka di laman media sosial X sebelum ini dianggap ‘seksis’ dan merendahkan martabat wanita.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung pada Oktober 2010 dikatakan telah mempermainkan kata-kata dalam bahasa Indonesia, yang merujuk kepada payudara wanita apabila menulis bahawa beliau berharap dapat mengelak kesesakan lalu lintas dalam perjalanan dari Bandung ke Jakarta, lapor CNA.
Menjawab kritikan tersebut, beliau menyatakan bahawa dirinya tidak menyesal dan berkata bahawa sekitar tahun 2010, ramai orang menggunakan laman media sosial itu untuk menyiarkan jenaka.
“Saya menggunakan #justrelax dan ini semua tentang jenaka, dan saya pasti semua orang dalam generasi itu melakukan perkara yang sama. Jadi itulah yang berlaku pada masa itu.
“Adakah saya menyesal melakukan itu? Tidak, kerana saya tidak pernah mengumpat sesiapa, merendahkan sesiapa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi calon, Ridwan Kamil yang merupakan bekas Gabenor Jawa Barat turut dikritik selepas ciapannya yang dibuat pada 2011 dianggap lucah dan tidak bersesuaian.
Dalam ciapannya pada Ahad lalu sebagai respons, beliau menyatakan kekesalan terhadap perkara itu dan menyeru netizen untuk bergerak ke hadapan, dan mendakwa ciapannya itu dibuat sebelum beliau menjadi pegawai awam dan menggunakan platform itu dengan lebih bebas.
“Seperti sifat platform, saya menyatakan diri saya secara bebas. Kadang-kadang penuh dengan kritikan pedas, kadang-kadang sarkastik, selalunya dengan nada mengejek.
“Maafkan saya atas masa lalu saya. Mari kita bergerak ke hadapan,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/8/2024




















