
KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu berhati-hati agar tidak terperdaya dengan muslihat promosi produk kesihatan di pasaran yang mengelirukan dan sekaligus mampu memanipulasi dan menipu mereka agar membelinya secara membuta tuli.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, syarikat yang menjual produk tersebut membuat promosi semata-mata ingin mengaut keuntungan dengan memanipulasi orang ramai yang kurang berpengetahuan mengenai perubatan.
Beliau berkata, pengguna dinasihatkan jangan membeli sekiranya produk berkenaan mempunyai lima ciri-ciri berikut.
“Ciri pertama, pengiklanan produk tersebut yang membuat tuntutan mampu merawat penyakit. Ini sebenarnya menyalahi Akta pemakanan 1983 dan juga Akta Pengiklanan 1956,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Menurut beliau, terdapat 20 jenis rawatan penyakit kronik yang tidak boleh diiklankan seperti kencing manis, darah tinggi, kanser, kolesterol dan sebagainya.
“Ciri kedua ialah produk yang tiada kelulusan Badan Regulatori Ubatan Kebangsaan (NPRA), yang mana badan ini akan menentusahkan sama ada sesuatu produk itu boleh dijadikan sebagai ubat dan sudah melepasi kajian-kajian klinikal di dalam perubatan.
“Kalau kajian masih di peringkat pra-klinikal atau uji kaji dalam makmal, ia belum boleh dianggap sebagai produk yang berkesan dan selamat.
“Ciri ketiga adalah apabila promosi menggunakan nama institusi pusat pengajian tinggi atau individu tersohor, sedangkan entiti berkenaan tidak tahu-menahu pun nama mereka telah digunakan secara tidak bertanggungjawab.
“Mana mungkin institusi pendidikan atau individu yang berautoriti dalam sesuatu bidang dengan mudah menjadi promoter (orang yang mempromosikan) kepada produk yang meragukan,” jelas beliau.
Ciri keempat tambahnya lagi, apabila produk berkenaan membuat dakwaan bahawa keberkesanannya yang ‘terlalu ajaib’, sehingga terlalu bagus untuk dipercayai kebenarannya.
Menurut beliau, testimoni pembeli hanya dijadikan sandaran dakwaan keberkesanan, sedangkan kajian yang dibuat oleh pengkaji tersebut tidak pun mengkaji keberkesanan, keselamatan dan dos yang stabil serta sesuai untuk kegunaan manusia.
“Kajian dijalankan hanya mungkin melibatkan khasiat yang terdapat di dalam bahan asas produk tersebut.
“Ia bersifat umum dan tidak boleh dijadikan panduan kecualilah kajian klinikal yang spesifik dijalankan terhadap manusia.
“Ciri kelima pula, syarikat terbabit menggunakan kaedah bagi mengaburi persepsi masyarakat apabila promoter produk memakai baju menyerupai doktor perubatan, seolah-olah beliau pernah merawat ribuan pesakit kencing manis atau penyakit tertentu yang berkepakaran seumpamanya,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Suhazeli menzahirkan rasa bersalah sekiranya tidak menegur teknik mempromosikan sesuatu produk melalui media sosial seperti produk-produk kesihatan yang tumbuh ibarat cendawan terutama sekali apabila hujung bulan atau tarikh menerima gaji.
“Tulisan saya ini bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak tetapi demi menjaga kebajikan pesakit dan agar masyarakat tidak mudah terperdaya dengan produk kesihatan yang belum sahih mendatangkan hasil keberkesanannya ke atas manusia.
“Semoga dengan sedikit penerangan ini memberi garis panduan kepada masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan produk kesihatan yang dipromosikan dalam media sosial,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024




















