
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewujudkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) bagi menepati hala tuju Dasar Kebersihan Negara.
MPKB-BRI pada kenyataan berkata, usaha itu bagi menyediakan tempat pengumpulan barang kitar semula bagi rakyat, perindustrian, komersial dan institusi.
Malah inisiatif berkonsep waste to wealth itu dijangka membantu penduduk tempatan menjana pendapatan sampingan daripada aktiviti kitar semula selain membudayakan amalan itu.
“DTRC dilaksana di cawangan MPKB-BRI Panji mula beroperasi pada 22 Ogos lepas dan akan berterusan setiap minggu pada hari Khamis bermula jam 10.30 pagi sehingga 2.30 petang.
“Barangan kitar semula termasuk botol kaca, plastik, tin dan sebagainya termasuk minyak masak terpakai dapat membantu menjana pendapatan penduduk,” katanya di sini.
Kelantan komited melaksanakan kempen kitar semula biar pun negeri itu tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam 2007 (Akta 672) menerapkan Dasar Kebersihan Negara.
Bagi mencapai hasrat itu kerajaan negeri melancarkan Dasar Kelantanku Bersih 2022-2027 bagi membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan harian.
Kelantan antara tujuh negeri yang belum memutuskan untuk menandatangani Akta 672 termasuk Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 27/8/2024




















