
KUALA TERENGGANU: Koperasi Kariah Masjid Kampung Tebakang Marang Berhad (KOMIT) berada di landasan yang tepat untuk menjadi Koperasi Karya Masjid pilihan Malaysia.
Sehubungan itu, pengerusinya, Husein Ismail terharu dengan kehadiran dan komitmen daripada ahli-ahli KOMIT yang turut serta dalam rombongan melawat kebun kelapa di Setiu, baru-baru ini.
Katanya, kehadiran mereka bukan sahaja menunjukkan sokongan padu terhadap usaha yang sedang dijalankan tetapi memberikan inspirasi kepadanya dan seluruh pasukan untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih cerah untuk Kampung Tebakang.
“Kami juga meluangkan masa untuk melawat Laman Tani. Lawatan ini sangat relevan dengan projek ‘Laman Dapur’ yang sedang diusahakan oleh KOMIT di seluruh Kampung Tebakang,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman sosialnya. (Foto atas)
Menurutnya, projek itu bukan sahaja penting dalam memperkukuhkan keselamatan makanan dalam kalangan komuniti, tetapi juga mampu menjana pendapatan tambahan untuk ahli.
Beliau juga menekankan kepada semua ahli bahawa walaupun KOMIT sedang mengusahakan ladang kelapa seluas empat ekar serta 20 ekar tambahan yang sedang dalam proses permohonan geran dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Justeru, katanya adalah penting untuk ahli-ahli turut serta menanam kelapa SGG di halaman rumah sendiri atau di tanah yang dimiliki di sekitar kampung itu.
Ini, jelasnya merupakan usaha bersama untuk menjana pendapatan bukan hanya untuk KOMIT tetapi juga untuk komuniti kampung.
Tambah beliau, pihaknya komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada ahli yang memerlukan sokongan dalam memasarkan jus bunga kelapa itu melalui rangkaian pemasaran KOMIT yang meliputi seluruh negara.
“Melalui potensi besar yang ditunjukkan oleh perladangan kelapa SGG ini, saya yakin KOMIT berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan visi kita ke arah menjadi Koperasi Karya Masjid pilihan Malaysia, pilihan negara menjelang tahun 2030.
“Semoga dengan usaha yang berterusan dan komitmen yang tinggi, kita semua dapat bersama-sama mencapai kejayaan yang cemerlang dan mengubah masa depan komuniti Kampung Tebakang ke arah yang lebih baik, insya Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/8/2024











