Jentera penerangan PAS seluruh negara berhimpun perkukuh gerak kerja

Para peserta bergambar kenangan bersama YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (duduk tengah) seusai Konvensyen Penerangan PAS 2.0 yang berlangsung pada Sabtu, 24 Ogos 2024 lalu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jentera Penerangan PAS dari seluruh negara berhimpun dalam Konvensyen Penerangan PAS Pusat 2.0 bagi memperkukuh kesatuan fikrah dan naratif jentera itu dalam mendepani cabaran politik semasa.

Himpunan yang melibatkan lebih 500 orang jentera penerangan peringkat Pusat, Perhubungan Negeri dan Kawasan itu berlangsung di sebuah dewan di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, pada petang semalam.

- Advertisement -

Program setengah hari yang bermula jam 2.00 petang itu turut melibatkan pembentangan oleh dua orang pakar dari kumpulan penyelidik PAS yang membentangkan kertas kerja mereka berkaitan perbincangan utama dalam konvensyen tersebut.

Program diakhiri dengan acara kemuncak iaitu amanat yang disampaikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang meliputi pengarahan kepada semua jentera penerangan mengikut peringkat masing-masing.

Peserta konvensyen turut diberi peluang untuk bertanya soalan kepada semua pembentang kertas kerja dan Ketua Penerangan PAS Pusat sebagai mengukuhkan kefahaman mereka terhadap konten yang dibentangkan.

Program turut disertai oleh pegawai-pegawai media Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara serta Ahli Dewan Undangan Negeri PAS. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

- Advertisement -