DUN Kedah lulus 4 RUU berkaitan hal ehwal Islam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri Kedah telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Kedah bagi memasukkan Mahkamah Syariah di bawah Perlembagaan Negeri.

- Advertisement -

RUU Perlembagaan Negeri Kedah (Pindaan 2024) yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, diterima sebulat suara semua ADUN pada persidangan di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sanusi memaklumkan kepada Dewan bahawa pindaan itu adalah selaras dengan titah Sultan Kedah supaya Mahkamah Syariah diberi kuasa dan diletakkan di bawah Perlembagaan Negeri.

“Pindaan itu juga bertujuan untuk mengkaji semula struktur hierarki Mahkamah Syariah dengan menubuhkan lapisan keempat, yang dikenali sebagai Mahkamah Perdana Syariah (Mahkamah Utama),” katanya.

Justeru ujar beliau, penubuhan Mahkamah Perdana Syariah akan melengkapkan Mahkamah Syariah sedia ada dan Mahkamah Tinggi Syariah serta Mahkamah Rayuan Syariah.

Kata ADUN Jeneri itu, Kedah menjadi negeri kedua selepas Terengganu yang meletakkan Mahkamah Syariah di bawah Perlembagaan Negeri dan negeri kedua menubuhkan lapisan keempat dalam sistem Mahkamah Syariahnya.

Persidangan DUN itu juga sebulat suara meluluskan RUU Enakmen Mahkamah Syariah meliputi bidang kuasa Mahkamah Syariah, pelantikan hakim, bidang kuasa keempat-empat Mahkamah Syariah serta pelantikan anggota dan kes-kes dalam perbicaraan.

Dewan juga telah meluluskan dua RUU berasingan untuk meminda Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri.

Pada Mac lalu, Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar Mahkamah Syariah diletakkan di bawah Perlembagaan Negeri sama seperti Mahkamah Sivil yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga menggesa kerajaan negeri mengkaji semula struktur Mahkamah Syariah dan menambah baik status hakim Mahkamah Syariah supaya setanding dengan mahkamah sivil, selaras dengan status Islam di negeri ini.

Sementara pada Februari lalu, Menteri Besar telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

“Tujuh daripada peruntukan jenayah Syariah Kedah adalah serupa dengan undang-undang Kelantan, yang telah diputuskan tidak mengikut Perlembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

- Advertisement -