
KUALA LUMPUR: “Kita sudah berjaya daripada terus diduduki oleh para penjajah dan penjajahan fikiran itu yang paling berbahaya.”
Itulah kata-kata hikmah daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasminya sebagai pembukaan menyambut Hari Kebangsaan 2024 yang bakal diraikan kurang lebih dua minggu lagi.
Menurutnya, kemerdekaan yang bakal diraikan dalam bulan Ogos tahun ini oleh rakyat Malaysia terbahagi kepada dua iaitu kemerdekaan tanah air dan juga kemerdekaan fikiran serta kefahaman.
“Kita sudah berjaya membebaskan tanah air kita daripada terus diduduki oleh para penjajah.
“Biarpun begitu, penjajah telah berjaya menjajah pemikiran dan kefahaman kita,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa kefahaman bahawa dalam Islam tiada perkara politik itu adalah jajahan pemikiran yang paling berbahaya.
“Fahaman bahawa politik itu kotor, tidak perlu kepada politik, politik penuh penipuan sehinggakan hendak diserahkan urusan politik kepada orang lain adalah bentuk jajahan pemikiran
“Ini adalah ajaran politik suku dan agama suku yang menyebabkan masyarakat telah menganggap politik itu tidak penting,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024




















