SUKMA: Kelantan kini 3 emas, 3 perak, 7 gangsa

Pingat emas ketiga dari Sebastian Chung Wan Tan Emas dari acara taekwondo
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengucapkan tahniah pada skuad Kelantan yang berjaya memperolehi pingat pada acara Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

- Advertisement -

Rakaman penghargaan itu masing-masing disampaikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad.

Semalam Ustaz Nassuruddin mengucapkan rasa syukur apabila kontinjen Kelantan memperolehi pingat emas pertama dari sukan karate kumite kategori 75 kilogram lelaki yang dicapai melalui Vijiyaraj Arumugan.

Memasuki hari kelapan SUKMA 2024, Kelantan telah mencatat kejayaan cemerlang dengan meraih tiga pingat emas melalui tiga acara yang dipertandingkan.

Pingat emas pertama dimenangi oleh Vijiyara Arumugan dalam acara karate kumite 75 kilogram (kg) yang kemudiannya diikuti dengan kemenangan dalam acara Kriket T-20 pada Ahad lepas.

Kontinjen Kelantan, menjadi tumpuan utama, Sebastian Chung Wan Tan kerana berjaya menyumbang emas ketiga buat Kelantan menerusi acara taekwondo (58kg).

Zamakhshari berkata, pihaknya berpuas hati dengan persembahan dan juga semangat kesukanan yang ditonjolkan kontinjen-kontinjen Kelantan pada musim ini.

“Alhamdulillah, semangat dan usaha yang dipamerkan kontinjen-kontinjen kita sangat mengagumkan.

“Setakat ini, kita telah meraih tiga emas, tiga perak, dan tujuh gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 13 pingat, ” katanya ketika dihubungi.

Beliau memberitahu, pencapaian ini amat memuaskan walaupun masih banyak acara yang akan dipertandingkan.

Beliau bagaimanapun berharap, kontinjen Kelantan akan terus mara ke hadapan.

Tambah beliau lagi, satu lagi pencapaian membanggakan adalah pingat perak yang dimenangi oleh Alia Batrisya dalam acara lompat jauh wanita dengan catatan 5.73 meter (m).

Sehingga kini, menurut Zamakhshari, SUKMA 2024 yang melibatkan 37 acara masih memberikan peluang kepada Kelantan untuk memungut pingat emas.

Kelantan kini menduduki tangga ke-14 secara keseluruhan, iaitu di bawah negeri Kedah dan Perlis. – HARAKAHDAILY 20/8/2024

- Advertisement -