
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di lokasi-lokasi sambutan dan perarakan di seluruh negara sempena persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2024 bermula dari 26 Ogos hingga 31 Ogos 2024.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataanya berkata, larangan ini bertujuan untuk memastikan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan selamat.
Menurut kenyataan itu lagi, arahan ini bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam.
“Larangan ini juga untuk mengelak risiko kemalangan terhadap pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan latihan dan pertunjukan penerbangan formasi rendah di beberapa lokasi sambutan Hari Kebangsaan di seluruh negara sepanjang tarikh yang dinyatakan tersebut,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, CAAM mengingatkan juga sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang risiko serta bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); peraturan 98, peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Unit UAS CAAM di e-mel [email protected] atau layari laman sesawang www.caam.gov.my.




















