
PETALING JAYA: Dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang petang semalam ditemui terperangkap di dalam lif selama 9 jam di sebuah pangsapuri di Desa Petaling, di sini.
Kedua-dua mangsa, Faiq Adiwira Absyar, 11, dan adiknya, Muhammad Harith, 10, yang dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika tidur di dalam lif yang sedang diselenggara di kediamannya pada jam 12.45 tengah malam tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook sebelum ini, ibu kepada mangsa, Fospaliza Md Sariff telah meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki keberadaan dua kanak-kanak tersebut yang dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli pau.
Walau bagaimanapun, ibu mangsa telah memuat naik hantaran di Facebook maklumat terkini semula selepas menjumpai dua orang anaknya itu.
“Alhamdulillah selamat sampai rumah. Tersekat dalam lif dari jam 2.15 petang hingga jam 1 pagi,” katanya.
Menurut Fospaliza juga, mereka berdua sudah menjerit dan telah menekan loceng kecemasan berulang kali tetapi tiada apa-apa yang berlaku.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa syukur atas penemuan kanak-kanak tersebut dan mereka juah luah rasa bimbang dengan keadaan mereka.
“Allahu Akbar. Lamanya dalam lif. Anak-anak ‘akak’ kuat semangat dan semuanya selamat,” kata @Azue Izz.
Namun, ada juga meluahkan rasa geram dengan pihak pengurusan pangsapuri berkenaan selepas tular perkongsian rakaman CCTV yang menunjukkan keadaan kedua-dua mangsa itu.
“Sedihnya tengok anak-anak puan. Saya pula yang berasa marah pada pihak pengurusan atau pihak keselamatan. Lama mereka terperangkap di dalam lif.
“Syukur, anak-anak puan selamat. Saya pula yang trauma dengan lif,” tulis @Amalia Arshad. – HARAKAHDAILY 20/8/2024




















