
KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Perikatan Nasional, Akmal Zahin Zainal Zahir telah membuat laporan polis berhubung dengan suatu video yang dimuat naik di platform sosial media YouTube oleh pemegang akaun Suara Keadilan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.
Akmal Zahin berkata, keratan video yang digunakan itu bukanlah ucapan penuh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi adalah ucapan yang telah disunting dan diambil di luar konteks.
“Saya memohon bahawa siasatan dilakukan dan tindakan diambil terhadap individu-individu yang telah menerbitkan memuat naik video tersebut.
“Ini kerana saya percaya mereka telah melakukan kesalahan-kesalahan.
“Saya membuat laporan ini adalah bagi pihak polis memulakan siasatan perbuatan menyunting video ucapan tersebut sehingga memberi gambaran yang salah serta menyemai bibit-bibit kebencian di antara rakyat, pemimpin politik serta institusi raja-raja.
“Video asalnya ialah 1 minit 36 saat, tetapi telah disunting-sunting, dicantum-cantum menjadi kurang daripada 30 saat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di hadapan IPD Dang Wangi, selepas selesai membuat laporan polis tersebut.
Turut hadir ialah Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ahli Parlimen Machang; dan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan.
Akmal Zahin yang juga Ahli Armada Bersatu Malaysia berkata, video yang dimuat naik tersebut direka untuk menimbulkan tanggapan palsu, adalah tidak benar dan bertujuan untuk menghasut serta mengapi-apikan keadaan.
“Kandungan dan tajuk video tersebut telah dirangka disunting dan diterbitkan dengan niat jahat dan untuk ditularkan di platform sosial media dengan tujuan menjejaskan masyarakat umum agar mempunyai tanggapan yang salah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dengan sengaja menentang Al-Sultan Abdullah.
“Akibatnya, pelbagai laporan telah dibuat terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan saya percaya video ini telah disunting secara sengaja untuk tujuan memanipulasikan, memainkan naratif politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024




















