
JANGAN ada sifat hasad kecuali dalam dua perkara. Yang pertama ialah orang yang berilmu. Dia beramal dengan ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain.
Kita boleh dengki dengannya. Jadi, kita pergi belajar dengannya, bukan meletakkan duri di tengah jalannya atau membocorkan tayar kenderaannya. Dengki di sini bermaksud kita nak menjadi sepertinya.
Yang kedua ialah orang yang berharta. Dengan harta, dia melakukan amal kebajikan seperti mengeluarkan zakat, bersedekah, menolong orang yang susah dan menyelesaikan masalah orang.
Kita boleh dengki dengannya. Kalau orang Arab, dia tidak mahu berkongsi dengan orang lain dalam bab sedekah sebab dia mahu pahala untuk dia seorang sahaja.
Kalau boleh, amalkanlah solat sunat Duha. Bukan untuk menjadi kaya. Tetapi, banyak keperluan kita lepas dipenuhi. Arwah Tok Guru tidak pernah meninggalkan solat sunat Duha walau pergi ke mana-mana sekalipun. Setelah beliau meninggal, tiada pun pitis (duit) di dalam akaun banknya. Keperluannya sentiasa selesai berkat daripada solat sunat Duha.
Doa yang biasa diajarkan kepada kita untuk dibaca ketika menunaikan solat Duha:
اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ فِيْ الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْداً فَقَرِّبْهُ
Maksudnya: “Ya Allah, jika rezekiku ada di langit maka turunkanlah, jika ada di dalam perut bumi maka keluarkanlah, jika ia sukar maka permudahkanlah, jika ia haram maka sucikanlah, jika ia jauh maka dekatkanlah”.
Doa ini asalnya merupakan doa seorang wanita di Arafah yang disebutkan oleh Ad-Dinuri dalam kitab ‘Al-Mujalasah wa Jawahir al-Ilm”. (Rujuk halaman 727).
Kadang-kadang, rezeki datang tanpa diduga. Contohnya, orang belanja kita makan di kedai. Allah memberi rezeki kepada kita dengan kita tidak terfikir. Solat sunat Duha merupakan antara cara untuk menjemput rezeki. Cara yang kedua ialah taqwa iaitu melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
Maksudnya “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah jadikan baginya jalan keluar.” (Surah At-Talaaq: 2).
Ada masalah dalam hidup, memang kita tidak boleh lari daripada masalah. Semua orang ada masalah. Cuma masalah manusia dengan manusia yang lain tidak serupa.
Ada orang yang kaya tetapi tidak mempunyai adik-beradik. Kalau tiada adik-beradik atau waris, mestilah berasa sunyi. Pada hari raya, nak pergi beraya ke mana? Kalau sakit atau pening macam mana? Nak buat majlis kenduri bagaimana?
Ada pula orang yang kaya tetapi diuji dengan anak istimewa yang puluhan tahun terlantar di atas tilam.
Dia ada harta yang banyak tetapi tidak dapat mengubati anaknya yang sakit. Bagaimana perasaannya? Kita, walaupun tiada pitis (duit) tetapi anak sihat. Kalau kita menghadapi ujian seperti orang kaya itu, sudah la tiada pitis (duit), anak sakit lagi, macam mana? Jadi, manusia ini ada ujiannya masing-masing.
Apabila kita ada masalah dalam hidup, janganlah sampai kita berburuk sangka dengan Allah. Kalau hubungan kita baik dengan Allah, Insya-Allah dia akan memberi rezeki kepada kita.
Ada seorang orang alim, dia teringin nak menunaikan haji tetapi tiada pitis (duit). Tiba-tiba pada suatu hari, ada seorang hamba Allah yang tidak dikenalinya datang dari Kuala Lumpur bertemu dengannya. Memberikan wang RM10,000 kepadanya supaya dia melaksanakan badal haji arwah ayahnya.
Satu cara lagi untuk menjemput rezeki ialah istighfar. Paling kurang, bacalah Astaghfirullah sebanyak tiga kali selepas selesai menunaikan solat. Ada antara kita yang tidak sempat pun beristighfar selepas solat, terus bangun.
Sebab istighfar ini adalah bahagian kita dengan Allah. Kalau itu pun tidak sempat untuk kita sebut, tidak mahu ambil bahagian kita, jadi kita ini dikira sangat rugi.
Dua surah menceritakan mengenai istighfar, disebut dalam kisah Nabi Hud dan Nabi Nuh. Nabi Hud berkata:
وَيَٰقَوْمِ ٱسْتَغْفِرُواْ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيْهِ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْاْ مُجْرِمِينَ
Maksudnya “Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, Dia akan menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.” (Surah Hud: 52).
Nabi Nuh pula berkata:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا . يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya: “Lalu aku berkata (kepada mereka): Maka minta ampunlah dengan Tuhan kamu kerana Dia Maha Pengampun, Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)”. (Surah Nuh: 10-12).
Maknanya, Allah akan menurunkan bergunung-gunung rezeki dari langit. Sebab orang pada masa itu menanam dan berkebun. Jadi, mereka mengharapkan hujan.
Nabi Muhammad SAW sendiri beristighfar tidak kurang daripada seratus kali sehari. Nabi tiada dosa. Kalau pun ada buat silap, Allah tidak akan ambil kira.
Baginda menyebut dalam hadis:
إنَّه لَيُغَانُ علَى قَلْبِي، وإنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ في اليَومِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Bahawa sesungguhnya hati Baginda ada ketikanya terleka, maka Baginda akan beristighfar sebanyak seratus kali istighfar. (Rujuk Riwayat Imam Muslim: 2702).
Betapa penting dan mahalnya nilai istighfar di sisi Baginda. – HARAKAHDAILY 18/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















