Nenggiri: Hormati ‘seni’ berpolitik pengundi Kelantan

- Advertisement -

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan keputusan PRK N.43 DUN Nenggiri sebagai ‘seni’ orang Kelantan dalam berpolitik yang selayaknya digelar ‘universiti politik terbuka’ di mana serba unik dan tersendiri.

Menurut beliau, sama ada pendekatan dilakukan dengan politik wang mahupun politik ugut atau politik kebajikan dan politik kesedaran, ia hakikatnya hanyalah kaedah dan ‘operasi’ untuk meraih undi, namun keputusan tetap di tangan sekalian pengundi.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu menjelaskan, dinamika politik dan pilihan raya di Kelantan menyerlahkan kalah dan menang terhasil silih berganti, terutama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diasak, dikepung dan ‘ditabur’ seperti di N43 Nenggiri ini.

- Advertisement -



Syahir menyoroti keputusan PRK-PRK yang pernah berlangsung sebelum ini di negeri Serambi Makkah itu seperti DUN Pengkalan Kubor (2014), DUN Pengkalan Pasir (2005) dan DUNSemerak (1997) di mana semuanya BN menang dengan majoriti tinggi.

“(Tetapi) Menyusul PRU selepas itu, PAS pula yang berjaya menawan hati majoriti pengundi. Ya, keputusan di tangan pengundi yang sama, orang kampung yang sama, anak perantau yang sama; malah parti dan calon bertanding yang sama,” ujarnya.


Walhasil daripada keputusan semalam, beliau turut menyampaikan pesanan kepada Yang Berhormat agar selamat berkhidmat dan menunaikan segala janji tanpa ada sikap dendam dan tanpa ada perasaan iri hati.

Manakala kepada yang terhormat atas komitmen pernah dicurahkan, beliau mengucapkan selamat berbakti dan teruskan KHIDMAT serta sama sekali tidak berundur walau seinci dari langkah perjuangan telah diiltizamkan.

“Dititipkan jua kepada kekanda Setiausaha Agung Umno, bekas calon Parlimen Tumpat, Pasir Putih dan Gerik, (marilah) teruskan bertandang di teratak Nenggiri; dan jemputlah bertanding di P.032 Gua Musang dalam PRU16 nanti.

“Kepada pasukan jentera dan petugas parti, kalian telah mencurahkan yang terbaik, kesungguhan kerja terbaik, kesepaduan kerja terbaik. Walau keputusan tidak menyebelahi kita, semoga amalan dan pengorbanan diterima di sisi-Nya.

“Adat bertanding, menang kalah. Adat berjuang, pantang mengalah,” ujar Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS melontar motivasi istiqamah. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

- Advertisement -