Bantuan buat mangsa banjir tanda prihatin PAS

- Advertisement -

MASJID TANAH: Sebanyak 20 keluarga yang terjejas dengan kejadian bencana banjir yang melanda Parlimen Masjid Tanah baru-baru ini telah menerima sumbangan prihatin daripada PAS Negeri Melaka.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, sumbangan tersebut adalah atas inisiatif Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) PAS Negeri dan Dewan Muslimat PAS Negeri.

“Alhamdulillah pada petang ini PAS Negeri Melaka bersama dengan PAS Kawasan Masjid Tanah dapat turun kepada beberapa lokasi yang dilanda banjir baru-baru ini.

“Kita juga memberikan sedikit sumbangan sebagai tanda prihatin kami daripada PAS Negeri Melaka,” katanya kepada _Harakahdaily_ usai program tersebut petang semalam.

Beliau turut memuji gerak kerja Khidmat Malaysia bersama Jabatan Amal Malaysia yang telah menjalankan tugas cemerlang membantu meringankan kesukaran mangsa banjir.

Katanya, Khidmat Malaysia Melaka turut dibantu oleh Jabatan Amal Malaysia Johor dan Selangor dalam gerak kerja tersebut bagi membantu mangsa pada pasca banjir.

Tambah beliau, tugas-tugas dilakukan mereka dalam membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang berlaku di sini baru-baru ini sangatlah dihargai.

“Bantuan dalam membersihkan rumah-rumah ini alhamdulillah menyebabkan masyarakat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kita mendoakan kepada semua terlibat diberikan kesabaran tinggi dan sabar reda dengan apa yang berlaku semoga dengan kesabaran itu diberikan ganjaran besar oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin itu turut menyeru kepada semua pihak bertanggungjawab di dalam memimpin masyarakat dan di pihak kerajaan sendiri supaya memberikan keprihatinan tahap tinggi terhadap isu itu.

Jelasnya, ia bagi memastikan pengurusan bencana dilakukan dengan cara yang terbaik dan masalah berlaku dapat diatasi dengan sepantas-pantas mungkin.

“Memang banjir adalah suatu bencana yang kadang-kadang kita tidak dapat jangkakan. Namun, dengan ada perancangan dan pengurusan yang baik, kesusahan masyarakat ini dapat kita kurangkan semaksima mungkin, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi LKKS PAS Melaka, Mohsin Ibrahim yang ditemui dalam program itu menzahirkan penghargaan kepada semua yang membantu menyediakan dana bagi bantuan tersebut.

“Mudah-mudahan dengan sedikit sumbangan wang dan juga beras yang kita berikan ini akan dapat merasakan kebersamaan kita merasai kesusahan dialami oleh mereka yang terlibat dengan banjir yang berlaku di minggu lepas

“Mudah-mudahan mereka akan sama-sama bersabar menempuh dugaan daripada Allah SWT,” katanya yang juga Bendahari PAS Negeri Melaka.

Dalam program tersebut, sumbangan telah dihantar ke rumah mangsa-mangsa banjir terlibat melibatkan kawasan Ramuan China, Paya Lebar dan Kuala Sungai Baru.

Turut serta dalam konvoi tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Juga Timbalan YDP PAS Kawasan, Abu Hashim Abdul Samad serta Naib YDP yang juga Pengarah Khidmat Malaysia Kawasan, Azmi Sambul.

Banjir yang bermula di Bandar Masjid Tanah pada Ahad petang dan kemudiannya merebak ke kawasan-kawasan lain dalam Parlimen Masjid Tanah itu disifatkan penduduk tempatan sebagai yang terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun.

Ia turut melibatkan pembukaan sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan mangsa tertinggi direkodkan berada di PPS ialah pada Isnin lalu iaitu seramai 419 orang.

Semua PPS dilaporkan telah ditutup sepenuhnya pada Rabu setelah semua kawasan dinaiki air telah pun surut dan semua mangsa terlibat pulang ke rumah masing-masing. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

- Advertisement -