
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September depan (Sabtu).
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daftar pemilih bagi PRK DUN Mahkota seramai 66,318 pemilih yang memerlukan peruntukan kos sebanyak RM2.4 juta.
“Tarikh writ pada 13 Ogos iaitu pada hari ini (Selasa), hari penamaan calon pada 14 September (Sabtu), manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 24 September (Selasa),” katanya dalam sidang media SPR, di sini, hari ini.
Menurut rekod, ini merupakan PRK yang ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram; PRK Parlimen Pulai; PRK DUN Pelangai; PRK DUN Jepak; PRK Parlimen Kemaman; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK DUN Sungai Bakap; dan PRK DUN Nenggiri.
Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu selepas mengalami pendarahan dalaman.
Allahyarhamah juga pernah dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital sejak Mac lalu berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Beliau yang juga Ketua Wanita Umno Kluang adalah bekas Ketua Wanita Umno Johor. Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu. – HARAKAHDAILY 13/8/2024




















