Penduduk letak harapan tinggi calon PN selesai isu tanah

- Advertisement -

GUA MUSANG: Para penduduk dan peneroka yang tinggal di kawasan di bawah pengurusan Kesedar meletak harapan tinggi kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi menyelesaikan isu hak milik lot rumah dan kebun.

- Advertisement -

Mohd Rizwadi Ismail berkata, setiap kali beliau berjumpa penduduk terbabit isu hak milik tanah menjadi rungutan mereka.

Katanya, isu hak milik yang gagal diselesaikan Kesedar selepas mendapat hak milik daripada kerajaan negeri menjadi topik hangat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.

“Ada di antara mereka meneroka tanah di Nenggiri sejak 45 tahun lalu, namun sehingga sekarang belum memperolehi hak milik tanah,” katanya ketika ditemui semasa kempen dari rumah ke rumah di Renok hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad dan petugas pilihan raya PN.

Pada tawaran yang diumumkan kepada rakyat kelmarin calon PN bersedia membantu mempercepatkan pemberian hak milik lot kediaman dan kebun kepada peneroka Kesedar di Jeram Tekoh, Limau Kasturi, Sungai Asap, RPT Sungai Terah, Renok Baru dan Meranto.

Selain itu mempercepatkan pemberian hak milik tanah tapak kediaman untuk 580 bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan Rantau Manis.

Rizwadi juga berkata, penduduk Nenggiri bergantung harap kepada kerajaan negeri supaya membantu mereka untuk mendapatkan geran hak milik tanah.

Menurutnya juga sambutan penduduk terhadap PN ketika aktiviti kempen, ceramah kelompok dan program bersama masyarakat begitu menggalakkan. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -