
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri amat mengharapkan jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang dapat membantu Terengganu untuk melakarkan projek pembangunan sukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ini demi melahirkan atlet Terengganu ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
Beliau yang juga ADUN Tepuh menyatakan perkara itu menerusi catatan di laman sosialnya, semalam.
Menurutnya, selepas acara pusingan akhir keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 kelmarin, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyantuni Azizulhasni dan rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mewakili negara untuk acara itu.
“Sekalipun Dato’ Azizulhasni tersingkir awal tempoh hari, beliau tetap menjadi idola buat semua atlet Terengganu khususnya untuk meletakkan impian bagi beraksi di pentas tertinggi dunia.
“Terima kasih Dato’ Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus,” katanya.
Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri menyifatkan apa yang berlaku kepada kedua-dua pelumba trek negara itu di Sukan Olimpik Paris 2024 tentunya mempunyai hikmah.
“Insya-Allah tentu ada hikmah atas segala ketetapan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024











