Peluru berpandu ‘Fath-360’: Tentera Rusia dilatih di Iran

Peluru berpandu Iran ketika perbarisan Hari Tentera Kebangsaan di Tehran. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

TEHRAN: Puluhan anggota tentera Rusia sedang dilatih di Iran bagi mengendalikan sistem peluru berpandu balistik jarak dekat ‘Fath-360’ buatan Iran, selain dijangka penghantaran segera ratusan senjata yang dipandu satelit ke Rusia untuk perangnya di Ukraine.

Wakil Kementerian Pertahanan Rusia dipercayai telah menandatangani kontrak pada 13 Disember lalu di Tehran bersama pegawai Iran untuk perolehan ‘Fath-360’, dan satu lagi sistem peluru berpandu balistik yang dibina oleh Pertubuhan Industri Aeroangkasa (AIO) milik kerajaan Iran yang dipanggil ‘Ababil,’ lapor Reuters.

- Advertisement -

Salah satu sumber perisikan Eropah berkata bahawa ‘satu-satunya langkah seterusnya’ selepas latihan penggunaan sistem pertahanan itu yang melancarkan peluru berpandu dengan jarak maksimum 120 kilometer, dan kepala peledak 150 kilogram berkenaan adalah penghantaran sebenar senjata berkenaan ke Rusia.

Sumber perisikan itu bagaimanapun tidak memberikan jangka masa yang tepat untuk jangkaan penghantaran peluru berpandu Fath-360 ke Rusia tetapi berkata, ia akan dilakukan dengan segera, namun tidak memberikan sebarang maklumat mengenai status kontrak ‘Ababil.’

Rusia memiliki peluru berpandu balistiknya sendiri, namun perolehan Fath-360 membolehkan Rusia menggunakan lebih banyak senjatanya untuk sasaran di luar barisan hadapan, sambil menggunakan kepala peledak Iran untuk sasaran jarak dekat, kata seorang pakar tentera.

Sementara itu, delegasi tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York berkata, dalam satu kenyataan bahawa Republik Islam itu telah menjalin perkongsian strategik jangka panjang dengan Rusia dalam pelbagai bidang, termasuk kerjasama ketenteraan.

“Namun begitu, dari sudut etika, Iran mengelak daripada memindahkan sebarang senjata, termasuk peluru berpandu, yang berpotensi digunakan dalam konflik dengan Ukraine sehingga ia berakhir,” katanya dalam kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan pada Februari mengenai kerjasama ketenteraan yang diperhebatkan antara Iran dan Rusia dan minat Moscow dalam perolehan peluru berpandu permukaan ke permukaan buatan Iran itu.

Pihak berkuasa Ukraine setakat ini tidak melaporkan secara terbuka ada menemui sebarang sisa atau serpihan peluru berpandu buatan Iran sewaktu perangnya dengan Rusia. – HARAKAHDAILY 10/8/2024

- Advertisement -