
KUALA LUMPUR: “Terasa sangat kehilangannya,” ujar Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin susulan adindanya, Muhammad Yusuf telah kembali ke rahmatullah akibat kanser hati di Puchong, Selangor, kelmarin.
Menurutnya, allahyarham adinda beliau seorang yang sangat ceria dan suka bermusafir.
Katanya, hampir separuh dari seluruh negara di dunia ini sudah dilawatinya menggunakan penerbangan tambang murah Air Asia dengan tempahan awal.
Menerusi catatan di laman Facebook, beliau menambah masjid-masjid menjadi tumpuan ziarahnya sama ada di Jakarta mahupun Tokyo.
Beliau berkata, allahyarham turut melaksanakan kerja kebajikan seperti projek membina perigi air di Kemboja dan lain-lain.
Tambahnya, allahyarham yang berusia 55 tahun adalah anak yang keenam daripada tujuh beradik. “Saya anak ketiga. Hanya kami berdua sahaja lelaki dan sekarang tinggal saya seorang,” ujarnya lagi.
Menurut Ustaz Abdullah, sewaktu beliau menjadi calon PRU15 lalu, allahyarham turut membantu berkempen. (Foto atas)
Katanya lagi, gambar kenangan allahyarham adindanya itu bersama Ustaz Nadir An Nuri dalam program Cinta Gaza masih ada.
“Semoga Allah menempatkan adindaku Muhammad Yusuf Husin bersama para syuhada dan bersama orang soleh di syurga,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2024











