Hospitalku Sekolahku, pendidikan kanak-kanak dalam rawatan

Program Hospitalku Sekolahku diadakan di Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 300 hingga 400 pelajar mengikuti program Hospitalku Sekolahku yang diadakan di Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Nor Hafizah Abdullah berkata, program itu bertujuan menyasarkan pendidikan berterusan untuk kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di hospital.   

- Advertisement -

Menurutnya, program dianjurkan oleh FBK dengan kerjasama SDH, HSNZ, Kuala Terengganu itu sebagai kesinambungan daripada program ‘Sekolahku Hospitalku’ yang mula dilaksanakan pada tahun 2013.

“Saya berharap inisiatif ini akan terus menjadi platform penting untuk pendidikan kanak-kanak dalam rawatan, dengan harapan usaha ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. 

“Program ini memberikan impak positif kepada komuniti dan peserta, mengeratkan hubungan antara komuniti luar dengan mahasiswa FBK serta menyediakan input untuk memperkuat dan memperkasakan para peserta,” katanya  ketika pelancaran program di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Program berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Hospital, Dr. Norazman Alias, yang menyatakan komitmen untuk memastikan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital tidak terlepas daripada pembelajaran. 

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Nordin Abdul Rahman, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Dekan FBK, para pensyarah yang menyertai program, dan fasilitator “Hospitalku Sekolahku”.

Hafizah juga menekankan bahawa program berkenaan bertujuan menerapkan konsep sukarelawan berdasarkan Teras ‘Hero Komuniti’ dalam Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2023-2030.

Beliau berharap dengan program yang diadakan pelajar dapat berperanan aktif dalam pembangunan komuniti dan negara.

“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa FBK untuk berbakti dan mengasah kemahiran mengajar serta insaniah melalui aktiviti-aktiviti seperti origami, lukisan, dan pelbagai aktiviti kreatif lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -