
VIENNA: Suspek utama tiga remaja Austria ditahan susulan merancang serangan ke atas konsert penyanyi terkenal Hollywood, Taylor yang dijadualkan diadakan di sini dikaitkan dengan kumpulan militia ISIS, selepas bahan kimia ditemui di kediaman salah seorang daripada suspek.
Pihak berkuasa Austria berkata, suspek utama, seorang lelaki remaja berusia 19 tahun telah ditahan bersama dua lagi remaja berusia 17 dan 15 tahun.
Pengarah Besar Keselamatan Awam Austria, Frankz Ruf dalam sidang media pada hari ini, Khamis (8 Ogos) berkata, bahan kimia dan peranti teknikal, yang menunjukkan ‘tindakan persediaan konkrit’, ditemui di rumah lelaki berusia 19 tahun itu di bandar Ternitz.
“Lelaki itu dikatakan telah bersumpah setia kepada pemimpin ISIS,” tambahnya, lapor Al Arabiya.
Sehubungan itu, tiga konsert Swift di Vienna, dijangka menarik 195,000 orang telah dibatalkan.
Akhbar Kurier, memetik sumber yang biasa dengan situasi itu, melaporkan bahawa suspek telah mencuri bahan kimia dari bekas tempat kerjanya, sebuah syarikat pemprosesan logam juga di Ternitz, dan telah membuat percubaan untuk menghasilkan bom.
Akhbar itu melaporkan bahawa lelaki itu telah merancang untuk memandu kereta ke arah orang ramai yang dijangka berkumpul di luar stadium, dan juga telah mempertimbangkan untuk menggunakan parang dan pisau.
Kementerian Dalam Negeri Austria dan perkhidmatan perisikan tidak segera bersedia untuk mengulas butiran laporan itu, lapor Reuters.
Kes itu telah menggambarkan risiko kepada pertunjukan stadium, festival muzik dan perhimpunan besar lain, dengan serangan yang dirancang itu menggemakan rancangan yang digagalkan oleh tiga suspek yang dikaitkan dengan ISIS terhadap perarakan kebanggaan gay Vienna tahun lalu.
Pihak berkuasa Vienna dilaporkan telah merombak perisikan keselamatan negara itu susulan serangan pada tahun 2020 oleh seorang pelampau di tengah Vienna yang menyebabkan empat orang maut.
Menurut penyiar Amerika Syarikat, ABC, memetik sumber penguatkuasaan undang-undang dan perisikan, pihak berkuasa Austria telah menerima maklumat mengenai ancaman konsert Swift daripada perisikan AS.
Ia memetik sumber sebagai berkata sekurang-kurangnya seorang daripada suspek menerusi perkhidmatan permesejan segera dan protokol Internet berasaskan pengkomputan awan, Telegram telah berikrar taat setia kepada ISIS-K, sayap bangkit semula ISIS, pada Jun tetapi kononnya plot itu diilhamkan oleh ISIS dan bukannya diarahkan oleh koperasi kumpulan itu.
Ruf berkata, terdapat pertukaran maklumat yang berterusan dengan rakan kongsi asing, yang bersama-sama dengan perisikan pihak berkuasa Austria sendiri telah memantapkan ke dalam situasi ancaman tertentu.
Tiga konsert Swift di Vienna akan menjadi sebahagian daripada Konsert Jelajah Eras yang bermula pada 17 Mac 2023, di Glendale, Arizona, AS, dan dijangka berakhir pada 8 Disember 2024, di Vancouver, Kanada.
Swift, 34, masih belum mengulas mengenai pembatalan itu di akaun Instagram rasminya yang mempunyai 283 juta pengikut.
Terdahulu, nama Swift dikaitkan dengan serangan pisau terhadap sebuah kelas yoga kanak-kanak yang bertemakan lagu-lagunya di Southport, United Kingdom (UK).
Dalam kejadian pada 29 Julai 2024, dua kanak-kanak maut dan sembilan lagi cedera – enam daripadanya dalam keadaan kritikal.
Impak insiden menyebabkan UK kini berada dalam kacau-bilau apabila gerakan penduduk kulit putih negara itu bertindak mengadakan protes ganas terhadap warga asing, susulan fitnah yang sebelum tular mendakwa penyerang dikatakan Muslim, sedangkan suspek yang sebenarnya yang telah ditahan ialah remaja kelahiran Britain berketurunan Afrika yang berusia 17 tahun, Axel Rudakubana.
Sementara ISIS pula dikaitkan dengan serangan di sebuah konsert rock di Moscow, Rusia dalam kejadian pada 22 Mac 2024, selepas ia mengaku bertanggungjawab di atas serangan tembakan rambang di Dewan Bandaraya Crocus.
Kumpulan individu bersenjata itu telahmelepaskan tembakan dengan senjata automatik dan melemparkan bom tangan yang mencetuskan kebakaran menyebabkan 60 maut dan 145 yang lain cedera. – Agensi/– HARAKAHDAILY 8/8/2024




















