Petugas PAS Melaka ‘jatuh cinta’ masakan Kelantan

Adam (kiri) dan Nasir (kanan)
- Advertisement -

GUA MUSANG: Antara perkara menarik sepanjang berkampung di Kelantan sebagai jentera bantu PAS Negeri Melaka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri ialah masakan negeri itu sangat menyelerakan.

- Advertisement -

Salah seorang petugas bantuan itu, Adam Baba berkata, perkara itu membuatkan beliau begitu senang berada di situ walaupun meninggalkan kampung halaman selama dua minggu.

“Memang kita tak boleh nafi masakan-masakan di Kelantan ni memang sedap. Di Melaka pun kadang-kadang ada kedai jual masakan Kelantan, saya mesti makan kalau jumpa.

“Kali ni dapat bertugas di Nenggiri Kelantan ni jadi dapat makan hari-hari masakan Kelantan. Itu antara yang buat kita rasa seronok bertugas di sini,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau lagi, antara menjadi kesukaan beliau ialah menu-menu sarapan pagi yang sangat berbeza dengan menu biasa dimakan orang Melaka.

“Dekat sini ada nasi berlauk, nasi kerabu, nasi dagang. Semua ni jarang ada di Melaka. Saya memang suka. Selain itu ada jeruk bawang putih, jeruk petai.

“Itu semua menyelerakan bila tiba waktu makan. Saya rasa memang saya akan rindu masakan Kelantan bila balik Melaka nanti,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Masjid Tanah.

Adam, 55, yang merupakan petugas tetap PAS Melaka pada PRK itu berkata, beliau telah berada di Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian sejak hari penamaan calon dan akan berada di sana sehingga selesai proses pilihan raya itu.

Mengulas situasi PRK itu beliau berkata, pengundi-pengundi di UDM tersebut menunjukkan respons sangat positif terhadap calon PERIKATAN NASIONAL untuk PRK tersebut iaitu Ustaz Rizwadi Ismail dari parti BERSATU.

“Setakat ini alhamdulillah, respons daripada pengundi-pengundi di sini amat amat positif. Kita yakin mereka akan terus memberi undi pada calon PERIKATAN NASIONAL seperti pilihan raya sebelum ini.

“Yang saya boleh katakan, sokongan yang ditunjukkan rakyat di sini memberi kami semangat untuk terus bekerja bagi memenangkan calon kita ini,” katanya.

Beliau turut menyeru amilin-amilin PAS dan PERIKATAN NASIONAL dari Melaka agar datang beramai-ramai membantu sehingga tiba waktu pengundian

“Mari datang beramai-ramai. Banyak perlu dilakukan di sini. Kami perlu tenaga anda di sini. Datang segera,” katanya bersemangat.

Sementara itu, seorang petugas PAS Kelantan yang ditemui, Mohd Nasir Mohd Salleh, mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kehadiran para petugas dari Melaka bagi membantu di UDM itu.

“Alhamdulillah, kami sangat gembira dengan petugas-petugas bantu dari Melaka yang datang membantu di sini. Saya lihat mereka bekerja dengan sangat baik,” katanya yang mesra dipanggil ‘Ayah Nasir’.

Dari sudut sokongan pengundi, beliau yang merupakan Timbalan Komander bagi UDM itu berkata, mereka menerima respons sangat positif daripada pengundi di situ.

“Sebenarnya kawasan ini dahulu kita sukar nak masuk. Dulu kubu kuat Umno. Malah kita tiada cawangan di sini. Tetapi pada pilihan raya sebelum ini kita menang UDM ini walaupun kita tiada cawangan.

“Kerana itu kita kena kerja keras untuk tambah lagi kemenangan di sini supaya kita dapat kemenangan yang bergaya.

“Kita juga akan pastikan segala masalah yang telah dinyatakan penduduk akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri,” katanya yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tanah Merah. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -