Infineon Kulim buka peluang pekerjaan bernilai tinggi

- Advertisement -

KULIM: Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada industri berteknologi tinggi seperti Infineon Technologies, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Infineon Technologies Kulim katanya, merupakan industri kuasa silikon karbida (SiC) terbesar di dunia dan kini mengorak maju bukan sahaja di Kedah tetapi juga Malaysia.

“Kehadiran Infineon di Kedah bukan sahaja membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih bernilai tinggi, malah masyarakat sekeliling juga boleh mendapat manfaat daripada komuniti Infineon.

“Kerajaan negeri juga sentiasa berusaha untuk menarik, memudahkan, dan menyokong pelaburan perniagaan di negeri ini,” kata beliau sempena Majlis Perasmian Bangunan Baru Infineon Technologies (Kulim) di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini hari ini.

Jelas Sanusi lagi, Infineon akan terus memberi nilai kepada lonjakan ekonomi rakyat tempatan secara keseluruhan.

Dalam pada itu beliau turut mengimbau pengalamannya dua tahun lalu, di mana beliau menyaksikan upacara peletakan batu asas bangunan Kulim (K3) dan pada hari ini,bangunan itu siap untuk dirasmikan.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selain turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies AG, Jochen Hanebeck.

Mengulas lanjut ujar beliau, Taman Perindustrian di Kedah menempatkan pelbagai sektor industri seperti elektrik dan elektronik (E&E), tekstil, produk berasaskan getah, farmaseutikal dan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Termasuk maklumnya, fabrikasi keluli, komponen dan alat ganti automotif, pengacuan suntikan plastik dan teknologi industri tinggi.

Kedah juga katanya, bekerjasama rapat menyokong perkembangan industri serta sentiasa memastikan kemudahan khususnya kepada industri berteknologi tinggi, dijaga dengan baik.

“Melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kami akan memastikan proses persediaan untuk pelabur berjalan lancar.

“Melalui MIDA juga Kedah menawarkan insentif seperti harga tanah yang menarik, status perintis, elaun cukai pelaburan (ITA), Elaun Pelaburan Semula (RA) atau Insentif Pusingan,” jelas beliau.

Sementara itu, dalam program berasingan, Sanusi mengadakan perjumpaan bersama anak-anak Kedah yang bekerja di Infineon Technologies, Kulim.

Perjumpaan itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -