
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat 6.9 magnitud pada skala Ritchers dikesan di Kyushu, Jepun pada jam 3.42 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan pusat gempa itu terletak di 31.7 darjah utara dan 131.7 darjah timur iaitu 37 kilometer (km) tenggara dari Miyazaki, Jepun dengan kedalaman 41km.
“Bagaimanapun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam kenyataan yang berasingan di laman sesawang berikut, MetMalaysia berkata, bagi Seksyen A iaitu perairan, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan perairan Sabah sehingga 6 petang ini.
Sementara, bagi Seksyen B iaitu perkapalan, amaran yang sama seperti di Seksyen A di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Utara, timur Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan, Sulu dan Sulawesi sehingga 6 petang ini juga.
“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m) dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024




















