
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis giat mengadakan perbincangan untuk mencari jalan terbaik bagi memperkukuhkan agensi mahkamah Syariah, khususnya melibatkan negeri itu bersama Kedah, Kelantan dan Terengganu (SG4).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, tujuannya adalah untuk memastikan bahawa isu-isu seperti kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid tidak akan dicabar ke negeri-negeri lain.
Beliau mengambil contoh dari Kelantan di mana kelulusan enakmen Syariah di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertikaikan.
“Kita ambil Kelantan sebagai contoh kerana kelulusan itu (contoh kes Nik Elin) di Sidang DUN yang menggariskan enakmen tersebut.
“Jadi bila tercabar, seolah-olah tak terpakai apa yang diputuskan di Sidang DUN. Itu dari segi pemeriksaan Syariah,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa beberapa pindaan terhadap enakmen Syariah di Negeri Perlis juga sedang dipertimbangkan.
“Antaranya termasuk isu anak angkat iaitu enakmen pengangkatan supaya lebih tersusun dari segi undang-undang,” tambahnya.
Katanya lagi, Perlis sedang menyediakan draf pindaan yang berada dalam proses akhir untuk dibawa ke Sidang DUN.
Terdahulu, Ustaz Muhammad Azmir menerima kunjungan hormat dari Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Juga bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat serta delegasi dari Terengganu dan Kedah.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad dan Timbalan Mufti Negeri Perlis, Ustaz Tajul Urus dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Md Noor. – HARAKAHDAILY 8/8/2024











