UNIC Care sedia khidmat bantuan ambulans

- Advertisement -

KANGAR: Menggunakan tanda pagar #PakatSamaBantu, perkhidmatan ambulans UNIC Care memberi kemudahan yang besar kepada pelbagai pihak.

- Advertisement -

Pengasasnya, Kapten (B) Arizal Abdul Latif berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

“Antara yang terbaru kami bantu ialah seorang pesakit kanser untuk pulang ke Chuping dari Hospital Besar Pulau Pinang,” ujar Arizal kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkhidmatan ambulans UNIC Care, juga dikenali sebagai Ambulans UNIC Prihatin, memudahkan urusan waris dan pesakit terlantar ke hospital serta pelbagai urusan lain.

Sejak 2018, UNIC Care menyediakan kemudahan seperti ulang-alik ke pusat dialisis, temujanji rawatan, penghantaran pesakit keluar dari Wad Hospital Tuanku Fauziah, penghantaran pesakit ke hospital luar Perlis serta urusan bank.

Perkhidmatan itu memberikan manfaat besar kepada masyarakat, terutama dalam memudahkan akses kesihatan dan rawatan bagi mereka yang memerlukan.

Arizal turut menjelaskan bahawa tanda pagar #PakatSamaBantu mencerminkan semangat kerjasama dan bantuan bersama yang dipegang oleh UNIC Care dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

“Kami kenakan sedikit bayaran bagi menampung kos perkhidmatan dengan harga yang berpatutan.

“Bagi golongan asnaf pula, ada yang kami bantu secara percuma atau kami cari penaja bagi membantu pesakit tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -