Kematian Haniyeh makin kuatkan perjuangan Palestin – OIC

Hissein Brahim Taha (kiri) dan Mamadou Tangara dalam mesyuarat luar OIC. (FOTO: Arab News)
- Advertisement -

RIYADH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menegaskan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh minggu lalu di Tehran berisiko menyebabkan rantau Timur Tengah menjadi konflik yang lebih luas.

Bercakap pada mesyuarat luar biasa bersama menteri luar negara anggota OIC pada Rabu, Menteri Luar Gambia, Mamadou Tangara yang negaranya mempengerusikan OIC berkata, pembunuhan itu hanya akan meningkatkan ketegangan sedia ada yang berpotensi membawa kepada konflik yang lebih luas yang boleh melibatkan seluruh wilayah berkenaan, lapor Arab News.

- Advertisement -

“Kematian Haniyeh tidak akan memadamkan perjuangan Palestin tetapi ia menguatkannya, menggariskan kesegeraan untuk keadilan dan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin.

“Kedaulatan dan integriti wilayah negara bangsa adalah prinsip asas yang menyokong prinsip antarabangsa. Menghormati prinsip ini mempunyai implikasi yang mendalam dan pelanggarannya juga membawa akibat yang ketara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha mengutuk pembunuhan Haniyeh dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Zionis Israel di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Beliau menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memikul tanggungjawabnya dan mengambil langkah yang perlu untuk memaksa Israel menghormati kedaulatan undang-undang antarabangsa dan menghentikan pencerobohan serta serangan yang mengancam keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.

“Majlis itu harus menuntut pemberhentian segera dan menyeluruh terhadap pencerobohan Israel yang sedang berlangsung di Semenanjung Gaza bagi mengelakkan risiko perang serantau berskala penuh yang akan menjejaskan keselamatan dan kestabilan seluruh Timur Tengah,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -